PKR Kekal DUN Sungai Kandis Dengan Majoriti Lebih Rendah

SHAH ALAM – Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni meraih 15,427 undi bagi memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dengan majoriti 5,842 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam, yang mendapat 9,585 undi dan calon Bebas, K Murthy (97 undi)

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Sungai Kandis, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad yang menumumkan keputusan itu di Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, di sini kira-kira jam 9.30 malam tadi. Jumlah majoriti itu adalah rendah berbanding Plilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dikaitkan dengan peratusan keluar mengundi yang rendah.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Othman Mahmood, berkata jumlah yang keluar mengundi pada PRK ini adalah antara yang terendah iaitu 49.4 peratus daripada jumlah keseluruhan 51,217 pemilih berdaftar termasuk 417 pengundi baharu di DUN Sungai Kandis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PRK DUN Penanti pada 2009 masih mencatatkan jumlah peratusan keluar mengundi terendah iaitu sebanyak 46 peratus manakala PRK DUN Cempaka pada 2015, sebanyak 55 peratus.

PRK yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei yang juga bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Mat Shuhaimi mengekalkan kerusi itu yang sebelum ini dikenali sebagai DUN Sri Muda untuk penggal ketiga dengan majoriti 12,480 undi apabila meraih 23,998 undi mengalahkan Datuk Kamaruzzaman Johari (BN) yang mendapat 11,518 undi, Mohd Yusof Abdullah (PAS) yang menerima 7,573 undi dan Hanafiah Husin (Parti Rakyat Malaysia) yang hanya mendapat 76 undi.

Proses mengundi di 19 pusat pengundian dengan 109 saluran, berlangsung dalam keadaan aman tanpa sebarang provokasi daripada penyokong parti bertanding. – BH

One thought on “PKR Kekal DUN Sungai Kandis Dengan Majoriti Lebih Rendah

  • August 4, 2018 at 11:41 pm
    Permalink

    Pas tak kuar undi..

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.