Hanya 45 Peratus Keluar Mengundi Setakat Jam 4 Petang

SHAH ALAM – Peratusan keluar mengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Sungai Kandis lebih rendah daripada sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

SPR memaklumkan peratusan keluar mengundi hanya 45% sehingga 4.00 petang tadi. Sebelum ini, SPR menyasarkan 80% pemilih akan keluar mengundi pada PRK ini.

Tinjauan FMT dari pagi hingga tengah hari tadi mendapati beberapa tempat pusat mengundi lengang dan jalan raya tidak sesak.

Penduduk mengatakan suasana pada pagi hari kali ini tidak sama dengan kesesakan semasa pilihan raya umum 9 Mei lepas. Ramadhan Yapa, 52, berkata ia mungkin kerana ramai yang bekerja setengah hari, menyebabkan mereka tidak dapat keluar mengundi di awal hari.

Sebanyak 19 pusat pengundian dengan 109 saluran bagi PRK DUN Sungai Kandis dibuka mulai 8.00 pagi bagi membolehkan 51,217 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka. Keputusan dijangka diumumkan pada pukul 10.00 malam.

Pertandingan kali ini menyaksikan pertembungan 3 penjuru antara calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang mempertahankan kerusi itu daripada calon Barisan Nasional, Datuk Lokman Noor Adam dan calon bebas, K Murthy. – Fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.