Hansard Parlimen Dedah Lim Guan Eng Gagal Jelaskan Isu Hutang

KUALA LUMPUR – Berita ‘Khairy Jamaluddin dan Wee Ka Siong terduduk mendengar jawapan Lim Guan Eng’ berhubung isu hutang negara yang dibangkitkan di Dewan Rakyat Rabu lalu menjadi perbualan apabila ia tular di media sosial kelmarin.

Ahli Parlimen Rembau dan Ayer Hitam itu kononnya terkejut sehingga tidak terkata apabila Menteri Kewangan itu mendedahkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah membayar sebanyak RM7 bilion hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Namun berita yang dilaporkan tidak seperti apa yang berlaku.

Nasib baik ada hansard Parlimen.

Melalui hansard itu, Lim Guan Eng sebenarnya gagal menjelaskan mengenai hutang-hutang kerajaan yang didakwa mencecah RM1 trilion walaupun isu itu ‘diperjuangkan dengan bersungguh-sungguh’ sejak Pakatan Harapan menjadi kerajaan.

Realitinya, bukan kedua-dua ahli Parlimen itu terduduk tetapi ahli Parlimen Bagan itu yang tidak menjawab tiga soalan yang dibangkitkan oleh Ka Siong.

Ka Siong telah meminta Guan Eng menjawab adakah dua komponen hutang iaitu contigent liability (hutang bersyarat) berjumlah RM199.1 bilion dan pembayaran sewa (lease payment) RM201.4 bilion telah disembunyikan oleh Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Ahli Parlimen itu turut bertanyakan pengiraan hutang yang manakah mengikut takrifan Tabung Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan standard antarabangsa serta Bank Negara Malaysia – sama ada hutang yang berjumlah RM686 bilion atau RM1.087 bilion.

Beliau turut bertanya mengapa hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak masukkan dalam pengiraan hutang yang mencecah lebih RM1 trilion itu.

Berdasarkan hansard Parlimen, Guan Eng tidak menjawab satu pun daripada tiga soalan Ka Siong itu.

Guan Eng sebaliknya mengelak dengan mengasak soalan yang sama secara bertalu-talu kepada ahli Parlimen Ayer Hitam itu sama ada beliau tahu atau tidak Kerajaan Persekutuan telah membayar hutang 1MDB sebanyak RM7 bilion sebelum ini.

Hansard Parlimen itu boleh dibaca dari muka surat 119 melalui https://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-3107018.pdf

Sebelum pertanyaan itu dikemukakan oleh Ka Siong, Guan Eng yang membuat ucapan penggulangan titah Yang di-Pertuan Agong bagi Kementerian Kewangan berkata, aspek hutang yang sebenarnya ditanggung dan mulai dibayar oleh Kerajaan Persekutuan iaitu apabila kerajaan mengambil kira hutang, contingent liability dan jaminan Kerajaan Persekutuan.

Guan Eng menjelaskan hutang rasmi mengikut takrifan RM687 bilion tidak mencerminkan kedudukan hutang yang sebenarnya.

“Ini kerana apabila anda menjadi penjamin peminjam dan peminjam tidak boleh bayar, bukankah anda sudah menjadi peminjam utama ataupun pembayar hutang utama.

“Itulah sebabnya seperti yang mula didedahkan oleh Perdana Menteri, sebenarnya hutang Kerajaan Persekutuan adalah RM1,087 bilion, mencecah RM1 trilion.

“Kalau kita lihat pecahannya Tuan Yang di-Pertua, jumlah jaminan Kerajaan Persekutuan pada akhir tahun 2017 adalah sebanyak RM238 bilion atau 7.6 peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar),” katanya.

Menurut Guan Eng lagi, angka-angka hutang yang disebutkan belum merangkumi hutang 1MBD yang dijamin oleh kerajaan sebanyak RM5 bilion sedangkan jumlah obligasi hutang kepada Kerajaan Persekutuan akibat perjanjian dengan International Petroleum Investment Corporation (IPIC) dan surat sokongan yang bersifat jaminan adalah berjumlah RM38 bilion.

Selain itu, dakwanya, jumlah itu termasuk RM7 bilion faedah dan hutang pokok yang telah dibiayai oleh kerajaan bagi pihak 1MDB.

Tambahnya, Kerajaan Persekutuan terpaksa membayar RM50 bilion sehingga tahun 2039 mendakwa jaminan yang dinyatakan sebanyak RM5 bilion sebelum ini adalah satu penipuan.

Meskipun Ka Siong menuntut jawapan bagi ketiga-tiga soalannya, Guan Eng seakan-akan tidak mahu melayan, sebaliknya terus mengasak dengan soalan – sama ada ahli Parlimen itu tahu atau tidak jumlah RM7 bilion yang sudah dibayar oleh kerajaan.

Sehingga satu peringkat, Ka Siong berkata, Parlimen bukan mahkamah yang memerlukan dia berjawab ya atau tidak terhadap soalan Guan Eng.

Malah, pada satu masa ketika Ka Siong hendak menjawab, Guan Eng memintanya duduk.

Ka Siong turut bertanya mengenai apakah aset daripada contigent liability kerana Menteri Kewangan tidak boleh bercakap tentang hutang sahaja, tetapi Guan Eng masih menuntut jawapan pada soalan yang sama.

Akhirnya, Ka Siong berkata, dia terima apa sahaja yang Guan Eng katakan – mungkin malas hendak melayan gelagat Guan Eng yang disifatkan hanya bermain politik. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.