2 Penjaga Kilang Proses Ayam Mati Ditetak

Dua penjaga kilang memproses ayam ditemui mati dengan kesan tetakan pada seluruh badan mereka di dalam kilang itu di Jalan Bukit Kuda, Kampung Kuantan di Klang semalam.

Kedua-dua lelaki itu dikenali sebagai Wan Amir Hamzah Abu Hassan, 48, dan Syed Mohd Fazrul Syed Mohd Ridhwan, 23.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mazelan Paijan berkata mayat kedua-dua mangsa dijumpai bergelimpangan di dalam sebuah bilik kecil oleh anak majikan yang datang kira-kira 1 tengah hari semalam untuk mencari mereka setelah gagal dihubungi sejak tiga hari lepas.

Semasa ditemui di tempat kejadian, beliau berkata anak majikan itu memberitahu bahawa kali terakhir beliau berjumpa dengan kedua-dua mangsa, yang bekerja di kilang berkenaan sejak tiga tahun lepas, adalah pada hari Isnin ketika menyerahkan gaji bulanan mereka.

“Mereka (kedua-dua mangsa) adalah penduduk di sekitar sini namun menginap di kilang yang ada menyediakan bilik kecil untuk mangsa kerana mereka bertugas menjaga kilang yang beroperasi pada waktu malam.

Ketika anak majikan tiba, katanya, dia terbau benda amat busuk dari dalam kilang lalu membuat pemeriksaan. Dia membuka pintu bilik kecil berkenaan yang dikunci dari luar dan melihat mangsa bergelimpangan dalam keadaan berlumuran darah, yang dipercayai mati tiga hari lepas.

Beliau berkata terdapat seorang lagi pekerja tempatan yang menginap di bilik kecil lain di dalam kilang memproses ayam itu selain tiga warga Bangladesh yang datang bekerja.

“Warga asing itu memang tidak menyedari bau busuk (daripada kedua-dua mayat itu) kerana mungkin deria bau mereka sudah terbiasa bergelumang dengan pelbagai bau hasil memproses ayam.

“Tetapi, lelaki tempatan terbabit telah menghilangkan diri dan kini diburu polis bagi membantu siasatan kerana dipercayai berada di lokasi semasa kejadian,” katanya.

Mazelan berkata siasatan awal menunjukkan kedua-dua mangsa ditetak menggunakan senjata tajam namun pemeriksaan di sekitar lokasi itu tidak menemui bukti kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 

“Polis juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kilang itu dan melakukan pemeriksaan lanjut lokasi kejadian untuk melihat sama ada duit gaji dan barang peribadi kedua-dua mangsa hilang,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu atau mengenali waris mangsa untuk tampil ke mana-mana balai polis terdekat bagi menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.