Jangan Salahkan Lelaki Pukul Wanita Sahaja – Sharnaaz Ahmad

Sering kali dikaitkan dengan imej samseng, tidak sekali pelakon kontroversi, Sharnaaz Ahmad menolak persepsi itu. Bagi dirinya, tidak perlu lelah bersungguh menafikan sesuatu sekiranya masyarakat enggan beralih prasangka.

 
Namun, jelas pelakon Suamiku Encik Sotong ini, dia sendiri tidak pernah menafikan tanggapan tersebut. Sharnaaz sedar dirinya seorang yang panas baran. Itu sememangnya persepsi tidak boleh ditolak.

 

Tambah Sharnaaz, bapa dan abangnya juga mempunyai sifat yang sama, namun semakin berkurangan setelah usia meningkat naik. Jadi, baginya mungkin dia juga akan kurang ‘naik angin’ sekiranya usianya nanti mencecah ke angka 40-an.

 

“Apa orang nak cakap, biarlah. Tidak perlu untuk saya menafikan persepsi itu. Ya, memang saya seorang yang agak panas baran, mudah emosi. Keluarga saya juga begitu, mungkin ‘penyakit’ keturunan kot.

 

“Saya tidak kisah, cuma orang yang kenal rapat dengan saya tahu siapa diri ini. Mereka tahu perangai dan kehidupan saya.

 

Kalau kita nak ikutkan kata-kata orang, sampai bila pun kita tidak akan menjadi diri sendiri,” katanya.

 

Kematangan pelakon ini jelas terserlah. Biarpun diasak pelbagai soalan panas bertubi-tubi, tidak sekali pun riak amarah berukir di wajah. Malah, dia menjawab setiap persoalan dengan senyuman.

 

Baru-baru ini, timbul satu desas-desus mengatakan seorang pelakon lelaki bertindak memukul teman wanitanya. Bukan sekali dua cerita itu berdendang riuh, sudah banyak kali gosip sama berlegar hangat.

 

Mahu tidak mahu, nama Sharnaaz pastinya akan terpalit sama. Malah, ketika soalan adakah dia pelakon lelaki itu, dia hanya tergelak kecil. Tidak mahu menafikan atau mengiakan pada awalnya, dia ada penjelasan sendiri.

 

“Kenapa kita asyik kecoh apabila seorang lelaki memukul wanita? Kenapa tidak soalan sama ditanya apabila wanita memukul lelaki. Saya rasa, mesti ada sebab lelaki itu memukul wanita tersebut.

 

“Takkan dia saja-saja nak pukul teman wanitanya. Ada alasan kukuh bila seorang lelaki bertindak sedemikian. Tapi saya tidak cakap pukul wanita itu tindakan yang betul, salah tetap salah. Cuma mesti ada sebab,” katanya.

 

Disogok soalan adakah dia pelakon lelaki tersebut, dia pantas menggelengkan kepala. Malah, kehadiran Sharnaaz dalam majlis tersebut juga ditemani teman wanitanya, Noor Nabila yang merupakan kakak kepada pelakon dan pengacara popular, Neelofa.

 

“Macam inilah, lelaki pukul perempuan itu salah. Namun, kalau ditanya kenapa dia bertindak sedemikian, mesti lelaki tersebut hanya mendiamkan diri. Takkan dia mahu buka aib dan salah teman wanitanya.

 

“Lagipun, pukul-pukul manja sahaja. Tidak sama seperti memukul lelaki. Kalau pukul betul-betul, mahu pengsan sehari perempuan itu. Kata orang, pukul berlapik,” katanya.-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.