Ahmad Said Jangan Heret Rakyat Kerana Kecewa – Ahmad Razif

Ahmad Razif Abdul Rahman mengambil alih teraju kepemimpinan negeri pada 12 Mei 2014, menggantikan Datuk Seri Ahmad Said dalam keadaan yang mencetuskan gelora politik sehingga hampir menimbulkan keadaan tidak menentu.

 

Bekas pendidik itu mewarisi kerajaan yang dianggap berada dalam keadaan goyah ketika itu – hanya dengan kelebihan satu kerusi yang memberikan nafas kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk kembali berkuasa walaupun dalam keadaan sesak.

 

Ahmad Said yang perlu tunduk kepada akur janji pengunduran, pada awalnya memutuskan untuk bertindak keluar parti yang kemudiannya disusuli dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lain tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan itu.

 

Pentadbiran cara baharu dicorakkan, bersama pendirian Ahmad Razif untuk tidak mengambil pendekatan bersengketa dan cuba memberi tempat untuk semua menggerakkan dasar kepimpinannya berteraskan Transformasi Terengganu Baharu, namun ada yang berpaling menjadi duri dalam daging.

 

Kedudukan kerusi yang goyah, kepemimpinan terus terdedah kepada ancaman dan ugutan berterusan yang merintangi perjalanan politiknya, sehingga mencetuskan banyak tanda-tanya tentang kemelut yang tidak berkesudahan.

 

Di bawah ini diperturunkan kenyataan Ahmad Razif yang memperincikan apa yang telah dan sedang berlaku berhubung politik negeri semenjak diamanahkan sebagai ketua kerajaan Terengganu.

 

“Saya telah amati dengan teliti akan segala desas-desus, insiden serta tragedi sepanjang pentadbiran saya, dan dengan penuh rasa tawaduk serta reda di atas segala apa berlaku. Semuanya sudah tercatat sejak azali lagi iaitu ‘kita hanya mampu merancang, Allah SWT yang menentukan’.

 

Saya ingin mengulas bebe­rapa insiden sepanjang kepe­mimpinan saya selaku Menteri Besar, Pe­nge­rusi Badan Per­hubungan UM­NO negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Se­be­rang Takir yang akan turut menjadi sejarah kepada kerajaan, rakyat, negeri dan anak cucu yang akan datang.

 

Apakah punca sebenar UMNO negeri atau kerajaan Barisan Na­sional (BN) Terengganu dilihat sentiasa berada dalam keadaan ‘tidak menentu dan tidak ber­keyakinan’? Puncanya ialah kita kalah teruk pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 lalu.

 

Daripada 28 kerusi Dewan Un­dangan Negeri (DUN) pada Pili­han Raya Umum Ke-11 (PRU-11) yang diwarisi kepemimpinan ter­dahulu, hanya tinggal 17 kerusi pada PRU Ke-13. Inilah realiti yang perlu diterima ahli-ahli serta pemimpin UMNO dan rakyat.

 

Inilah ‘ibu’ kepada se­ga­la per­masalahan dan ketidaksta­bi­lan yang sedang melanda politik dan pentadbiran kerajaan negeri. Apabila sudah tidak kuat, kita akan terdedah dengan pelbagai ancaman ‘dalam dan luar’.

 

Kita diugut, kita dipaksa dan kita cuba dipengaruhi. Saya bu­kan ‘Superman’ atau ‘memiliki lampu ajaib’ yang boleh membuat sesuatu menjadi lebih cepat dan sempurna dengan sekelip mata.

 

Kepada rakan-rakan saya dalam parti yang tidak berpuas hati terhadap cara kepimpinan saya, saya memahami dan meng­hormati pendirian itu tetapi se­bagai orang politik macam saudara juga, saya punyai hak untuk mempertahankan diri dan memperjuangkan apa yang difikir betul.

 

Saya sentiasa kenal siapa ‘ka­wan dan lawan’ dalam politik dan mengamalkan keterbukaan bagi mencari kaedah terbaik atas apa-apa juga permasalahan.

 

Fakta tetap fakta. Kesimpu­lannya kerajaan BN yang ada di Terengganu sedang berhempas pulas memikul beban tang­gungan yang ditinggalkan oleh Menteri Besar lama.

 

Sekarang tiba-tiba ada yang dengan megah mengaku cuba men­jadi ‘penyelamat’.

 

Sepatutnya bekas Menteri Besar itu membantu saya menstabilkan UMNO dan membuat persediaan menghadapi PRU-14.

 

Isu anugerah pingat kebesaran saya ditarik balik oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku – saya sen­tiasa sedar dan akur bahawa saya ini anak negeri Terengganu dan raja saya ialah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku.

 

Insiden pemecatan pingat ke­besaran adalah hak mutlak bagin­da terhadap rakyat jelatanya dan menimbulkan keinsafan da­lam diri saya. Namun setiap ke­jadian ada hikmahnya yang tersendiri. Menginsafkan saya lagi, kita hanya insan lemah yang perlu sentiasa reda dengan apa yang berlaku dan mengambil se­tiap pengajaran daripadanya.

 

Hikmahnya, saya seolah-olah diberi ‘peluang kedua’ oleh Allah SWT untuk terus hidup di dalam dunia politik.

 

Pada kesempatan ini akan saya gunakan dengan sebaik mungkin untuk kepentingan rak­yat serta ummah demi sifat kemaafan DYMM Tuanku, dan memperkuatkan parti keramat UMNO atas kepercayaan Presiden parti kepada saya.

 

Faktor jawatan Menteri Besar ini adalah hak mutlak DYMM Tuanku dan hak mutlak Perdana Menteri di peringkat Persekutuan. Jawatan Menteri Besar bukanlah jawatan yang boleh diminta atau dimohon sesuka hati.

 

‘Adunan dan gabungan’ kuasa yang berasaskan perlembagaan negeri perlu berlaku sebelum ‘terjadinya’ pelantikan atau peng­guguran seseorang Menteri Be­sar.

 

Maka sesiapa sahaja yang mem­pertikaikan isu pelantikan jawatan atau menggugurkan Men­teri Besar adalah melampaui amalan rakyat yang ada rajanya kerana jika Perdana Menteri me­ngarahkan atau Tuanku me­nitahkan seseorang Menteri Besar un­dur, maka keadaan itu akan berlaku.

 

Usahlah libatkan unsur-unsur istana di dalam krisis ketika ini seperti membuat gerakan ge­lom­bang kuning dan macam-macam perkara lain yang dilihat cuba men­cemarkan institusi diraja.

 

Bagi ahli atau pemimpin parti yang tidak puas hati dengan ke­pimpinan tertingginya, kita mem­punyai kaedah dan cara ter­tentu dalam menyelesaikan ma­sa­lah ini. Bukan dengan meng­heret seluruh masyarakat menjadi huru-hara di atas asas andaian dan keti­dakpuasan hati kita sendiri.

 

Contohnya sekiranya rakyat tidak berpuas hati kepada kerajaan yang pilih secara demokrasi, tunggulah tibanya waktu PRU. Rakyat tidak boleh keluar berarak di tepi jalan raya kerana negara kita ada undang-undang dan pe­raturan.

 

Sama juga dengan institusi UM­NO yang mempunyai struktur peraturan dan undang-undang tersendiri.

 

Marilah kita bersama-sama menjernihkan keadaan politik negeri serta bekerja lebih kuat untuk mendapat kemenangan yang cemerlang pada PRU-14 supaya tidak terjadi seperti PRU-13 lalu dan fokus kepada pembangunan negara bangsa dan permasalahan rakyat semasa. Saya juga yakin UMNO Terengganu masa kini dalam keadaan stabil dan terurus walaupun ada cerita yang bukan-bukan.

 

Percayalah sebagai mana saya katakan, terserahlah kepada qada dan qadar setelah kita berikhtiar bersungguh-sungguh.”

 

KRONOLOGI DAN REALITY CHECK

 

Apa yang menyebabkan Menteri Besar dahulu diberhentikan?

 

Jelas tindak-tanduknya sendiri dengan membuat aku janji pengunduran daripada jawatan tersebut lebih awal.

 

Siapa yang meninggalkan ‘ibu’ kepada segala permasalahan ini

 

Jelas Menteri Besar sebelum ini. Kalah teruk dalam PRU Ke-13 daripada 28 kerusi kepada 17 kerusi sahaja.

 

Siapa yang memulakan ‘peperangan atau pergelutan ini’?

 

Jelas bekas Menteri Besar sebelum ini dengan membuat usul undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri yang mulia dan bersekongkol dengan elemen-elemen yang jelas bertentangan dengan kepemimpinan Pusat serta negeri. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.