Waran Tangkap Pengarang Sarawak Report

Kuala Lumpur – Polis Malaysia telah memperolehi waran tangkap terhadap pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

 

Ketua Jabatan Siasatan Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, Rewcastle-Brown disiasat di bawah Seksyen 124B dan 124I Kanun Jenayah yang berkaitan dengan kegiatan berlawanan dengan demokrasi berparlimen.

 

Mohmad dalam satu kenyataan ringkas lewat petang ini berkata, waran tangkap itu diperolehi daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

 

Katanya, Bukit Aman juga akan membuat permohonan untuk meletakkan nama Clare dalam senarai orang yang dikehendaki ASEANAPOL serta notis merah Interpol.

 

Seksyen 124I berkaitan dengan penyebaran laporan palsu, di mana seseorang yang didapati bersalah menyebarkan laporan palsu atau membuat kenyataan palsu yang boleh mencetuskan kebimbangan awam boleh dipenjara sehingga lima tahun.

 

Cara penyebaran maklumat itu diliputi secara meluas dalam undang-undang dan ia termasuk secara lisan, penulisan atau penyiaran baik secara cetak atau elektronik.

 

Seksyen 124B pula membolehkan hukuman penjara sehingga 20 tahun ke atas tindakan yang berlawanan dengan demokrasi berparlimen.

 

Rewcastle-Brown didakwa menggunakan maklumat palsu atau diubah dalam laporan disiarkan Sarawak Report mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang diperolehi daripada bekas pegawai PetroSaudi International Xavier Andre Justo.

 

Laman web Sarawak Report kini disekat oleh pengawal internet Malaysia sejak lebih dua minggu lalu kerana dikatakan menyiarkan maklumat palsu yang boleh menjejaskan kestabilan nasional.

 

Justo ditangkap di Thailand pada 22 Jun lalu dan kini masih ditahan polis di situ atas tuduhan peras ugut. Dia masih belum dituduh di mahkamah.

 

Dia mengaku pernah berjumpa Rewcastle-Brown dan beberapa warga Malaysia di Singapura di mana dia bersetuju menyerahkan maklumat mengenai 1MDB.

 

Rewcastle-Brown dan The Edge Media Group yang juga menyiarkan laporan mengenai 1MDB bagaimanapun menafikan mereka mengubah maklumat diperolehi.

 

1MDB dan PetroSaudi terbabit dalam usahasama dikatakan berlaku kehilangan AS$1.83 bilion yang didakwa ada kaitan dengan usahawan Malaysia Low Taek Jho.

 

Polis Malaysia kini menyiasat 1MDB termasuk juga pembocoran maklumat mengenai siasatan terhadap 1MDB yang berlaku di lain-lain agensi penguatkuasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.