Wanita Warga Indonesia ‘Hentak’ Anak Tiri Dengan Lesung Batu

GEORGETOWN – Seorang suri rumah terkejut apabila mendapati dua anak saudaranya cedera di beberapa bahagian badan dipercayai didera.

 

Difahamkan, kanak-kanak berusia lapan dan lima tahun itu lebam di bahagian muka dipercayai dipukul dengan lesung batu oleh ibu tirinya.

 

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, ibu saudara mangsa yang berusia 33 tahun itu dimaklumkan jirannya bahawa mangsa dipanggil guru di sekolah selepas didapati terdapat kesan lebam di mukanya.

 

“Anak saudaranya yang berusia lapan tahun dipanggil ke bilik guru kerana mengalami kecederaan dan lebam di muka dipercayai dipukul kira-kira jam 3 petang.

 

“Wanita itu kemudian mendapatkan kedua-dua mangsa dan mereka mengaku dipukul ibu tiri warga Indonesia. Mereka turut mengakui kerap dipukulnya jika melakukan kesalahan kecil,” katanya ketika dihubungi semalam.

 

Beliau berkata, keterangan mangsa mendapati kedua-duanya mengakui dipukul menggunakan lesung batu oleh ibu tiri kerana menghilangkan wang yang diberi.

 

“Mangsa berusia lapan tahun mengakui menghilangkan wang yang diberikan ibu tirinya yang juga suri rumah untuk membeli barang.

 

“Akibatnya, dia dan adiknya dipukul dengan lesung batu sehingga lebam di tepi mata kanan,” katanya.

 

Mior Faridalathrash berkata, pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati ada kesan lebam di beberapa bahagian badan selain kesan luka lama di kepala serta calar di tangan kanan.

 

“Pemeriksaan pada tubuh mangsa berusia lima tahun mendapati ada kesan parut lama di belakang kepala.

 

“Mangsa mengaku pernah dipukul ibu tirinya menggunakan besi kerana enggan tidur menyebabkan badannya lebam dan luka di belakang kepala. Kedua-dua mangsa kini dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan,” katanya.

 

Menurutnya, suspek warga Indonesia berusia 33 tahun itu kini direman hingga 7 Ogos untuk siasatan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak Kanak. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.