Teritip Pada Flaperon Pesawat Boleh Bantu Kesan MH370

SYDNEY – Teritip menyeliputi flaperon Boeing 777 yang ditemui di Pulau Reunion boleh membantu mengesan kedudukan pesawat dan jika ia MH370 akan membantu membongkar misteri kehilangannya.

 

Serpihan yang ditemui minggu lalu, disahkan sebagai flaperon pesawat Boeing 777 dan pasukan penyiasat akan membuat analisis sama ada ia milik MH370 atau tidak, Rabu ini.

 

MH370 dipercayai terhempas di Lautan Hindi kira-kira 3,700 kilometer dari dari Pulau Reunion dan serpihan berkenaan dipercayai dibawa arus hingga terdampar di pantai Pulau Reunion.

 

Berdasarkan gambar, ahli ekologi di Australia percaya teritip pada flaperon itu boleh memberitahu maklumat mengenai keadaan air di mana ia terjadi.

 

Pelajar PhD di Universiti Griffith, Australia, Ryan Pearson, berkata mereka mengkaji cengkerang teritip yang melekat pada penyu bagi memastikan corak migrasi haiwan itu.

 

Menurutnya, teknik itu juga digunakan untuk mengkaji pergerakan ikan paus.

 

“Pakar menganalisis kulit teritip untuk menentukan suhu dan kimia komposisi air bagi mengetahui asal teritip yang melekat pada badan penyu dan ikan paus.

 

“Teknik itu boleh membantu pencarian MH370 dalam julat kawasan sama ada puluh atau ratus kilometer namun tidak boleh memberi lokasi tepat pesawat,” katanya.

 

Profesor di Jabatan Sains Biologi Unversiti Macquarie, Melanie Bishop, berkata usia teritip boleh ditentukan berdasarkan saiznya.

 

“Jika usia teritip pada flaperon itu lebih tua berbanding tempoh Mh370 hilang, kita boleh menolak kemungkinan flaperon itu milik MH370,” katanya.

 

Ahli ekologi akan meneliti sama ada teritip berada pada permukaan flaperon atau terhad pada sisinya untuk menunjukkan serpihan itu bergerak di permukaan air atau tenggelam.

 

Penyiasat di Perancis juga akan mencari organisma lain seperti cacing, karang atau kerang yang boleh memberi petunjuk.

 

Ahli arkeologi marin mengkaji teritip untuk mencari petunjuk kapal yang karam dan ini adalah kali pertama membabitkan kapal terbang. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.