‘Rama-Rama’ Dalam Perut, Suami Demam

Tinggal lagi empat bulan dia bakal bergelar ibu. Namun, dia belum membuat sebarang persiapan menyambut kelahiran cahaya mata sulungya, sebaliknya selebriti jelita Fouziah Gous lebih teruja mencari pilihan nama untuk bayinya itu nanti.

 

Menurut pengacara Nona ini, walaupun berbadan dua sehingga kini dia masih aktif menjalankan tuga mengacara. Tidak banyak perubahan yang dialaminya sejak awal kehamilan hingga setakat ini malahan dia masih ligat melakukan aktiviti yang digemari seperti melancong ke luar negara dan bersenam.

 

“Alhamdulillah, sudah masuk lima bulan. Saya rasa macam ada ‘rama-rama’, bergerak-gerak dalam perut saya”, katanya sambil tertawa.

 

“Saya masih bekerja macam biasa selagi larat. Sebenarnya, saya pelik sebab selama ini ramai cakap kalau kita mengandung, banyak benda kita nak buat terbatas, makanan pun ada yang tak boleh makan dan sebagainya tetapi bagi saya, tak banyak berbeza yang saya alami.

 

“Kalau dulu sebelum mengandung saya suka makan, sekarang pun selera makan saya sama. Setakat ni, saya tidak pula mengidam makan pelik-pelik.

 

“Saya masih boleh pergi melancong beberapa bulan lalu. Saya pun sebenarnya tak mahu terlalu memanjakan diri tetapi saya lebih berjaga-jaga dan ikut nasihat doktor.

 

“Setiap hari sebelum keluar bekerja, saya pastikan saya ambil makanan tambahan. Saya amalkan meminum pati sarang burung untuk mengekalkan tenaga sepanjang hari,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Global Station Sdn Bhd di Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

Fouziah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan Md Zhafran Md Yusof, 32, pada 21 September 2013.

 

Namun, dedah Fouziah, seperkara yang lucu sejak dirinya disahkan hamil, dia mula menyedari perubahan suaminya, Md Zhafran yang sering mengalami pening kepala dan demam.

 

“Suami saya pula yang seperti alami alahan. Sejak saya hamil, dia pula yang selalu demam dan pening-pening. Saya suka usik-usik dan gelakkan dia,” tuturnya.

 

Katanya, sehinga kini dia masih belum mengetahu jantina bayinya itu. Pun begitu, dia menerima dengan senang hati sama ada mereka bakal menimang cahaya mata perempuan atau lelaki.

 

“Saya tak buat apa-apa persiapan lagi, Cuma, ada kawan-kawan saya ada yang sudah berikan hadiah.

 

“Sebenarnya, saya lebih teruja memilih nama untuk bayi kami daripada nak beli barang kelengkapan. Tak tahu lagi nak letak nama apa tapi yang penting nama tu mestilah yang ada makna baik-baik,” katanya yang dijangka bersalin pada penghujung tahun ini.

 

Dalam pada itu diminta mengulas situasi anak-anak selebriti seringkali menjadi perhatian umum dan dibanding-bandingkan, tidak terkecuali bayinya nanti, Fouziah menyatakan dia tidak mahu ambil pusing mengenai tanggapan umum atau komen-komen di media sosial.

 

“Saya tak tahu lagi macam mana situasinya sebab bayi saya belum lahir lagi tetapi sebenarnya saya bukanlah seorang yang suka membaca komen di laman sosial.

 

“Saya lebih suka kalau saya tidak tahu apa-apa atau tak baca apa yang komen tentang saya. Apa yang penting, asalkan saya dapat menjaga anak saya dengan baik dan dia sihat, itu sudah cukup,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.