Raja Kamarul Diberi Tempoh 14 Hari Tarik Diri Daripada GHB

Kuala Lumpur – Selepas memutuskan hubungan dengan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, PAS Kuala Terengganu hari ini memberi tempoh 14 hari untuk Ahli Parlimen itu mengisytiharkan dirinya ‘bebas’ daripada sebarang penglibatan dengan Gerakan Harapan Baru (GHB).

 

Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah mempertahankan tindakan yang diambil terhadap Raja Kamarul itu kerana PAS sebelum ini sudah mengeluarkan arahan untuk ahli-ahlinya tidak terlibat dengan GHB.

 

“(Ahli-ahli) Akar umbi , aktivis dan kepimpinan PAS Kawasan Kuala Terengganu juga secara tegas menuntut supaya Datuk Raja Kamarul Bahrin memohon maaf secara terbuka kepada seluruh ahli PAS dan pengundi di dalam parlimen Kuala Terengganu dan mesti mengisytiharkan diri memutuskan sebarang perkaitan dan hubungan dengan GHB dalam tempoh 14 hari.

 

“Jika sekiranya beliau masih gagal berbuat demikian dalam tempoh yang diberikan maka akar umbi, aktivis dan kepimpinan PAS Kawasan Kuala Terengganu sebulat suara menuntut Datuk Raja Kamarul Bahrin meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu dengan serta merta.

 

“Keputusan PAS Kawasan Kuala Terengganu memutuskan hubungan dengan Ahli Parlimen berkenaan hanya boleh dibatalkan jika beliau bertindak mematuhi ketetapan memohon maaf dan memutuskan segala penglibatan dalam GHB,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

 

Wan Sukairi dalam pada itu menegaskan PAS Kuala Terengganu amat menjunjung disiplin parti dan sebarang isu ketidakpatuhan terhadap pimpinan perlu dielakkan.

 

Semalam, Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu menyatakan kekecewaannya selepas PAS kawasan berkenaan bertindak memutuskan hubungan dengannya.

 

Beliau digelar ‘pengkhianat’ setelah dilantik sebagai Pengerusi GHB Terengganu, sebaik sahaja menghadiri sebuah majlis sambutan hari raya anjuran gerakan berkenaan.

 

Namun Raja Kamarul mendakwa beliau masih belum membuat sebarang keputusan tentang pelantikannya itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.