PABM: Peserta Bergaya Dengan Baju Kebangsaan

Bangi – Peringkat saringan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2015 (PABM 2015) yang berlangsung hari ini dimeriahkan dengan pelbagai gaya pakaian menarik yang dikenakan oleh peserta antarabangsa.

 

Kebanyakan mereka mengambil peluang menggayakan persalinan kebangsaan negara masing-masing ketika menyampaikan teks ucapan pidato di hadapan lima juri yang bertugas.

 

Peserta Teruja Dalami Budaya Dan Susur Galur Masyarakat Melayu.

 

Antara peserta yang tampil dengan pakaian negara mereka ialah Anastasia Wessel dari Jerman, Gagliardi Noemi (Itali), Shehabaddin Galal Hael Ghilan (Yemen), Mariam Coulibaly (Mali) dan Eiko Akazawa.

 

Peserta dari tiga kategori iaitu kategori Antarabangsa, Alam Melayu dan Pelajar Antarabangsa Menuntut di Malaysia (PAM) menghadapi peringkat saringan yang mana mereka perlu berpidato selama lima minit.

 

Mereka diberi kebebasan memilih 10 tema tajuk yang telah ditetapkan penganjur antaranya, Peranan Mahasiswa, Keamanan Dunia, Pemeliharaan dan Pemulihan Alam Sekitar, Pembangunan Ekonomi, Kepelbagaian Budaya, Kepentingan Pendidikan, Kerjasama Antara Negara, Kepentingan Bahasa, Perpaduan dan Komuniti ASEAN 2015.

 

Daripada 40 peserta kategori Antarabangsa, hanya 20 yang akan terpilih untuk ke peringkat suku akhir, manakala 21 peserta PAM dan 10 peserta Alam Melayu akan terus melangkah ke peringkat separuh akhir yang akan diadakan Khamis ini.

 

Keputusan peringkat saringan akan diumumkan pada jam 5 petang ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.