Miera Liyana Beraksi ‘Daring’ Lagi

Pengalaman terpalit dengan kontroversi juga kegagalan hubungan cinta dengan pasangan masing-masing sebelum ini banyak mengajar pelakon, Miera Liyana mahupun Afiq Muiz.

 

Justeru, kedua pihak tidak mahu terburu-buru apatahlagi mengulangi kesilapan lalu meskipun timbul gosip mengatakan mereka kini sedang hangat menjalin cinta.

 

“Kami berkawan dulu. Kalau ada apa-apa (cinta) kami akan kongsikan.

 

“Kami tidak mahu sorok sebab kalau nafikan ia akan jadi lagi rumit tetapi buat masa ini kami belum ada apa-apa lagi.

 

“Kami pun masing-masing pernah lalui kontroversi yang dahsyat, jadi kami tak mahu ulang kesilapan dulu.

 

“Lagipun, kami masih muda, saya 22 tahun dan Afiq 23 tahun, fokus sekarang adalah kerja tidak fikir lagi nak bercinta,” kata Miera ketika ditemui pada majlis rumah terbuka produksi Global Station Sdan Berhad di Subang Jaya, baru-baru ini.

 

Sementara itu, Afiq yang berada di sebelah Miera ketika ditemubual mengesahkan dia sudah memperkenalkan Miera kepada keluarga dan hubungan persahabatan mereka disambut baik oleh keluarganya. Begitu juga dengan keluarga Miera.

 

“Miera ada datang beraya di rumah saya. Ibu saya okay saja. Saya pun sudah pernah berjumpa dengan keluarga Miera,” katanya ringkas.

 

“Mama dan keluarga saya pun okay,” celah Miera.

 

Dalam masa sama, Miera menjelaskan hubungan rapat dia dan Afiq mula terjalin semenjak mereka berdua sama-sama membintangi drama rantaian Memori Cinta Suraya (MCS).

 

“Sebelum ini kami memang sudah kenal dan pernah berlakon bersama dalam drama berjudul Aisheteru tetapi mula rapat semenjak berlakon dalam drama Memori Cinta Suraya. Drama sebanyak 148 episod menjalani tempoh pengambaran yang mengambil masa selama setahun.

 

“Sebenarnya, bukan dengan Afiq saja saya rapat malah dengan pelakon lain kami macam satu keluarga. Setiap hari di set kami seronok sebab walaupun pun penat kerja tetapi kemesraan antara kami semua membuatkan kami lebih bersemangat nak kerja.

 

“Saya juga rapat dengan Hisyam Hamid tapi tiada pula orang gosip atau pertikaikan hubungan kami sebab mungkin kerana Hisyam sudah berkahwin,” ujarnya.

 

Dalam MCS, Miera melakonkan watak antagonis sebagai Airin, seorang gadis yang sanggup melakukan apa sahaja demi mendapat apa yang diinginkan.

 

Namun, apa yang sedikit merisaukan Miera kerana bukan saja pembawakan karakternya kali ini yang dijangka akan dibenci penonton tetapi penampilannya juga agak ‘daring’.

 

“Kalau penonton benci saya beerti saya berjaya bawakan watak itu. Tapi sepekara lain yang saya risau adalah dalam drama ni saya seorang yang agak ‘daring’,” katanya.

 

MCS terbitan Global Station akan ditayangkan mulai 17 Ogos ini di saluran Astro.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.