Jangan Terlalu Taksub Dengan Media Sosial – PM

REMBAU – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan rakyat di negara ini supaya tidak terlalu taksub dengan berita di media sosial sehingga menyebabkan sesuatu kejadian, peristiwa atau insiden dilihat dari sudut perkauman.

 

Beliau berkata, maklumat di media sosial dilihat banyak bersifat perkauman sehingga boleh mencetuskan perbalahan antara satu sama lain.

 

Beliau mengambil contoh kejadian berlaku di Plaza Low Yat di ibu negara, baru-baru ini yang hampir bertukar kepada pergaduhan kaum, sedangkan katanya, insiden itu adalah perkara biasa.

 

“Jangan mudah sangat kita rungkaikan sesuatu itu dari sudut negatif. Isu perkauman adalah sesuatu sangat serius dan perlu dielakkan serta jangan diperbesar-besarkan kerana ia boleh mengakibatkan perbalahan.

 

“Disebabkan kecenderungan seperti inilah ia boleh membawa kita dan negara dalam keadaan begitu genting dan boleh menyebabkan kejadian kepada perbalahan serius antara kaum,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2015 di Dataran Rembau, di sini, malam kelmarin.

 

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

 

Najib berkata, biarpun rakyat negara ini berada dalam keadaan aman dan harmoni, namun perlu waspada dengan tidak sesekali bangkitkan isu perkauman.

 

Sementara itu, Najib berkata, sambutan rumah terbuka merupakan satu cabang kepada rakyat ini dalam usaha memupuk perpaduan nasional dalam konteks negara bangsa.

 

Beliau berkata, kepelbagaian yang ada dalam kalangan rakyat negara ini merupakan kekuatan atau cabaran yang harus dihadapi bagi mengikat kekuatan hubungan rakyat menjadi lebih jitu dan teguh.

 

Menurutnya, apabila menyebut mengenai ‘unity in diversity’ atau perpaduan dalam kepelbagaian, ia merupakan satu keunikan bagi Malaysia.

 

“Saya mempunyai tiga tahap di mana konsep unity in diversity ini boleh menjadi ukuran kepada kita semua. Yang pertama apabila kita boleh bersikap toleransi. Tahap kedua apabila kita boleh menerima konsep unity in diversity ini dengan menganggap ia adalah satu realiti dan hakikat yang tidak boleh kita tolak.

 

“Peringkat tertinggi sekali ialah apabila kita meraikan diversity. Bila kita sampai ke peringkat meraikan kepelbagaian itu, maknanya kita sudah sampai ke kemuncak menerima kepelbagai itu sebagai satu yang kita anggap sebagai kelebihan, keistimewaan dan budaya yang kita raikan dengan senang hati,” katanya.

 

Kira-kira 15,000 rakyat hadir di majlis berkenaan yang dianjurkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan.

 

Turut hadir, 40 anggota delegasi media asing dari 11 negara termasuk Rusia, Jerman, Switzerland, Taiwan dan Kazakhstan. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.