Ikut Pembangkang Negara Hancur – Isa Samad

Kuala Lumpur – Tan Sri Isa Abdul Samad membidas pembangkang yang mempertikai arahan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia supaya Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menangguhkan prosiding pendengaran 1MDB.

 

Pengerusi Felda itu berkata, Speaker telah membuat keputusan mengikut undang-undang dan peraturan mesyuarat dan tindakan tersebut tidak seharusnya dipertikai oleh mana-mana pihak termasuk pembangkang.

 

“Kalau dengar cakap pembangkang, negara mesti sudah lama hancur. Speaker mesti sudah meneliti aturan yang ada dan tiada masalahnya kalau ditangguhpun.

 

“Ada dua bulan sahaja, bulan 10 sudah mula sidang parlimen, tak ada apa yang nak diriuhkan,” katanya pada sidang media di majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aildilfitri oleh Felda, di Casa Heliconia D’Saji pada Selasa.

 

Ahli Parlimen Jempol berkata, tindakan pembangkang itu hanyalah provokasi yang sengaja diadakan bagi menghangatkan lagi keadaan supaya rakyat marah pada kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

 

“Pembangkang hidup atas isu sahaja, jadi mereka akan cuba mempolitikkan semua keadaan, sampai kata Malaysia ni sebuah negara ‘rubber stamp’.

 

“Kalau Speaker buat macam-macam kenyataan, takkan nak kata kerajaan ‘rubber stamp’, ini bermakna pembangkang tengah cari isu supaya menambahkan lagi isu yang ada untuk perjuangan mereka kononnya,” katanya.

 

Terdahulu, wakil Pembangkang yang menganggotai PAC tidak puas hati keputusan penangguhan lima sesi prosiding menyiasat 1MDB yang dibuat Speaker.

 

Tony Pua mendakwa Speaker tiada hak untuk menangguhkan mesyuarat tersebut tanpa membuat sebarang perbincangan dengan pihaknya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.