Dua Ditembak Mati Cuba Serang Polis Guna Parang

Dua penjenayah ditembak mati oleh polis selepas menyamun seorang wanita dalam kejadian di Taman Puchong, kira-kira jam 11.15 pagi pada Selasa.

 

Penjenayah terbabit dikatakan telah bertindak memecah cermin kereta sebelum merentap beg tangan mangsa.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, polis berjaya mengesan suspek yang menaiki kereta jenis Honda City di Persiaran Puchong Permai berhampiran stesen janakuasa Tenaga Nasional Berhad menghala ke Taman Puchong Tekali 1.

 

Beliau berkata, suspek cuba melarikan diri sebelum dihalang oleh polis kira-kira 1.5 kilometer dari tempat kejadian.

 

“Akibat panik dan kemungkinan terdesak setelah dikepung, suspek telah bertindak menyerang anggota kami dengan bersenjatakan parang.

 

“Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan dan kedua-dua suspek disahkan mati di tempat kejadian.

 

“Siasatan awal mendapati kenderaan yang digunakan suspek dilaporkan disamun dua hari lalu di Kelana Jaya,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

 

Menurut Mohd Adnan, kumpulan terbabit dipercayai aktif menjalankan kegiatannya tahun ini dan terlibat dalam sembilan kes samun di sekitar Selangor iaitu Sungai Buloh, Batu 9 Cheras, Dengkil, Puchong, Putra Perdana, Seri Kembangan, Kampung Melayu Subang, Melawati dan Bukit Puchong.

 

“Kita akan membuat siasatan terperinci dan mengenal pasti identiti suspek untuk siasatan lanjut,” katanya.

 

Mayat suspek dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 kerana samun berkumpulan dan bersenjata.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.