Bot Karam Di Perairan Kemaman Ditunda Ke Jeti LKIM

KEMAMAN – Bot yang dilaporkan hilang di perairan Kemaman sebulan lalu dan ditemui karam kira-kira sembilan batu nautika dari Kuala Kemaman, berjaya diapungkan dan ditunda ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kemanan di sini.

 

Ketua Penguatkuasa Pangkalan Maritim Kemaman, Leftenan Komander Maritim Norhafizi Mohd Rafik, berkata kerja-kerja pengapungan bot itu dilakukan oleh pemilik bot dengan kerjasama syarikat perkapalan swasta semalam.

 

“Kerja-kerja menunda telah bermula pada pukul 10 pagi semalam dan bot berkenaan telah ditarik masuk ke Kuala Kemaman dan operasi itu selesai kira-kira jam 3 petang semalam,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

 

Katanya, bot itu dijumpai oleh sekumpulan nelayan tempatan pada 28 Julai lalu setelah pukat mereka tersangkut pada tali sauh bot tersebut.

 

Katanya sebaik menerima laporan daripada nelayan tempatan, seramai lima penyelam dari pasukan polis marin terus melakukan selaman dan berjaya mengesan bot tersebut dalam tempoh setengah jam.

 

Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal ke atas bot tersebut, pasukan penyelam mendapati tiada kesan bot dilanggar namun siasatan lanjut masih dijalankan dengan bantuan polis forensik.

 

Dalam kejadian 21 Jun lalu empat nelayan yang mempunyai pertalian keluarga dilaporkan hilang selepas keluar untuk menangkap ikan di perairan Kemaman kira-kira jam 6 pagi.

 

Kesemua mangsa yang berasal dari Kemaman dikenali sebagai Azuari Muda@Abu Bakar, 41, Mohd Zawawi Seman, 36, Mohd Nasri Ab Wahab, 29, dan Ab Wahab Tekak, 57.

 

Bagaimanapun, mayat Mohd Zawawi berjaya ditemui terapung kira-kira 17 batu nautika dari perairan Pulau Kapas pada 4 Julai. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.