Ulama PAS Beri Sokongan Padu Kepada Hadi Pertahan Khalid Ibrahim

Kuala Lumpur – Hasrat PKR untuk melihat presidennya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengisi jawatan Menteri Besar Selangor dijangka sukar kerana golongan ulama PAS berdiri teguh dibelakang pemimpin nombor satu parti itu.

Malah respons diberikan pemimpin ulama PAS seolah-olah membayangkan mesyuarat parti pada 10 Ogos ini akan terus mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor dan menolak cadangan PKR meletakkan Wan Azizah untuk kerusi tersebut.

“Tidak ada, kita tak melihat itu sebagai satu isu.

“Tiada apa-apa (sebab) ia menteri besar kekal,” menurut Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh.

Selain itu, beliau turut menafikan bahawa DAP menyokong cadangan PKR itu dengan menggugurkan Abdul Khalid dan digantikan Wan Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang.

“Itu tak betul, tak betul kalau kata DAP (setuju gugur Abdul Khalid).

“Tak betul (sebab) DAP ikut keputusan yang telah kita buat dalam mesyuarat Pakatan Rakyat,” katanya.

Untuk rekod, pimpinan tertinggi PAS akan mengadakan mesyuarat pada 10 Ogos ini bagi membuat keputusan, sama ada mengekalkan Abdul Khalid atau bersetuju dengan komponen Pakatan Rakyat yang lain.

Ditanya mengenai mesyuarat pada 10 Ogos ini, Nik Zawawi yang juga Pemangku Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat mengesahkan polemik Menteri Besar Selangor tiada dalam agenda.

“Tak, kita tak bincang sebab dalam agenda tiada kecuali sekiranya ada perkara berbangkit tetapi dalam agenda tidak ada.

“Kita tak bersungguh pun, pasal PKR itu kena tanya PKRlah…saya tidak tahu,” katanya.

Walaupun diajukan soalan serupa berulang kali, beliau tetap memberikan jawapan yang tidak memihak kepada PKR.

“Kita tak mengharap apa-apa cuma sekarang ini perkara itu silap faham.

“Kita tiada apa-apa perkara sebab kita tak pernah berbalah atau apa-apa, jadi kita nak harapkan apa? Tiada apa-apa,” katanya.

PAS terus dilihat bersendirian dalam mempertahan Abdul Khalid selepas DAP menyatakan sokongan penuh kepada Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

Sebelum ini, Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Majlis Pimpinan Pakatan menerima cadangan menggugurkan Abdul Khalid dan melantik presiden parti itu yang juga isterinya, Wan Azizah sebagai pengganti.

Bagaimanapun, hasrat Anwar itu ditentang Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mempertahan Abdul Khalid untuk terus memegang jawatan tersebut memandangkan beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.

 

Jawatankuasa PAS Pusat perlu sokong Hadi

Sementara itu Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed menegaskan parti itu tidak bersendirian walaupun PKR serta DAP bersetuju menggugurkan Abdul Khalid.

Beliau juga mengakui kepimpinan parti termasuk akar umbi dihimpit perasaan berbelah bagi sama ada hendak mengekalkan pendirian asal atau membuat pilihan lain dalam mesyuarat yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat ini.

“PAS bukan bersendirian tapi PAS belum ada keputusan, PAS ada mesyuarat pada 10 Ogos nanti.

“PAS nampak berbelah bagilah di kawasan-kawasan dalam perkara ini tetapi keputusan muktamad pada 10 Ogos nanti,” katanya.

Menurut Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat ini, sayap tersebut berdiri teguh dan menyokong kenyataan Abdul Hadi mengenai isu usaha pertukaran Menteri Besar Selangor.

“Dewan Ulama setakat ini menyokong akan pendirian presiden pasal isu itu memang dah dibincangkan masa DUN Kajang lagi.

“DUN Kajang memanglah kita tak boleh nak buat apa-apa kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim nak bertanding mulanya tetapi selepas itu tak jadi dan Anwar bagi isterinya, itu tiada masalah.

“Tapi perkara itu kita dah beritahu daripada awal tiada kaitan dengan isu menteri besar,” katanya.

Menurutnya, keputusan menyokong kenyataan presiden itu dibuat sejak Mac lalu dan sehingga kini secara sebulat suara masih berpegang teguh kepada keputusan tersebut.

“Sebab itulah sekarang ini presiden katakan beliau mengekalkan keputusan PAS…betullah, pasal PAS belum bincang perkara ini sejak mood Kajang.

“Jadi Dewan Ulama menyokong pendirian presiden itu,” katanya.

Mahfodz juga berkata Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang akan bersidang pada 10 Ogos ini perlu mengambil pendirian padu berdiri teguh bersama presiden.

Ini kerana jelas beliau, tiada sebab untuk menggugurkan Abdul Khalid memandangkan pemimpin PKR itu telah menjalankan tanggungjawab itu dengan baik selain tiada penyelewengan sepanjang mentadbir negeri itu.

“Daripada satu pihak oleh kerana beliau (Abdul Khalid) tidak ada apa-apa masalah maka patutlah presiden mengekalkan Tan Sri Khalid.

“Tiada sebab yang boleh buat beliau digugurkan, dari segi pentadbiran tiada masalah…salah guna kuasa tiada, penyelewengan tiada sebab itu saya sokongan pendirian presiden,” katanya. – AP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.