PKR Akan Hantar Dokumen Penjelasan Dan Alasan Untuk Singkirkan Khalid – Saifuddin

Petaling Jaya – PKR hari ini mendakwa Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terlibat dalam aktiviti meragukan membabitkan urus niaga jualan tanah di negeri itu.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, urusan jualan tersebut berlaku sejurus selepas tempoh sebulan Khalid mencapai penyelesaian luar mahkamah kes hutang dengan Bank Islam.

“Dalam tempoh sebulan selepas penyelesaian itu, kita dapati terdapat beberapa perkembangan yang menguatkan lagi keraguan membabitkan urus niaga berjumlah ratusan juta ringgit yang beri keuntungan kepada Eco World Berhad iaitu syarikat yang dikawal oleh Tan Sri Rashid Manaf sebagai pengerusi dan pemegang saham utama,” kata Saifuddin di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

Saifuddin berkata, Eco World memperoleh 308.7 ekar tanah yang dijual oleh Tropicana Corp Berhad yang membelinya sebelum itu daripada kerajaan negeri Selangor pada April 2013.

Katanya, urusniaga penjualan kepada Eco World berlaku pada 19 Mac, 2014 selepas penyelesaian hutang Bank Islam dengan Khalid pada Februari 2014.

“Khalid perlu jelaskan kepada pemimpin parti, tapi kami tidak dapat jawapan yang memuaskan,” katanya.

Selain projek urus niaga tanah, Saifuddin juga mendedahkan Eco World dianugerahkan projek perumahan mampu milik di Ukay Perdana pada 25 Mac, 2014.

“Pada 25 Mac, 2014 menteri besar menandatangani satu lagi MOU (Perjanjian Persefahaman) yang menganugerahkan projek pembinaan 2,400 unit rumah pangsa mampu milik di bawah geran Selangorku yang dianggarkan bernilai RM591 juta kepada Eco World di Sungai Sering, Ukay Perdana,” katanya.

Beliau berkata, langkah memberikan projek itu juga meragukan kerana pada asalnya projek tersebut sedang dibincangkan dengan syarikat lain.

“Projek ini pada asalnya dirundingkan dengan syarikat lain yang berlarutan beberapa tahun tapi akhirnya dapat kepada Eco World,” katanya.

Saifuddin berkata, dua perkara tersebut antara contoh kes yang melibatkan integriti Khalid sebagai menteri besar.

“Ini menimbulkan keraguan khususnya daripada sudut integriti,” katanya.

Selain isu tanah, Saifuddin juga membangkitkan sikap dan cara Khalid mengendalikan isu air di Selangor kerana mengambil tindakan secara bersendirian.

Saifuddin berkata, PKR sendiri akan menghantar dokumen penjelasan mengenai alasan untuk menyingkirkan Khalid kepada semua pimpinan Pakatan Rakyat (PR).

Beberapa perkara menyentuh kepimpinan Khalid akan dijelaskan dalam dokumen tersebut.

Awal tahun ini, PKR melancarkan Langkah Kajang untuk menukar Khalid dengan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menerima pelbagai aduan tentang menteri besar yang sudah masuk penggal kedua perkhidmatannya tetapi didakwa mentadbir negeri sesuka hatinya tanpa berunding dengan partinya, PKR atau pimpinan Pakatan.

Dia juga dikritik dalam caranya menangani beberapa isu lain seperti catuan air, rampasan Bible versi Melayu dan Iban oleh Jabatan Agama Islam Selangor dan Lebuhraya Kinrara Damansara.

Anwar sepatutnya bertanding dalam pilihanraya kecil Kajang tetapi rancangan itu tergendala selepas Mahkamah Rayuan mendapati dia bersalah dalam kes Liwat II melibatkan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Isterinya, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bertanding menggantikan Anwar, menang kerusi dewan undangan negeri itu dan dipersetujui PKR sebagai paling layak menduduki kerusi menteri besar Selangor.

Bagaimanapun, Khalid bertegas tidak akan mengundur diri sehingga penggalnya tamat.

Isu menteri besar Selangor juga dikatakan menjadi salah satu punca populariti PR jatuh merudum di Selangor setahun selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel) setahun selepas PRU13 mendapati sokongan kepada PR jatuh kepada 35% berbanding 50% enam bulan sebelum pilihan raya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.