Konflik Gaza: Muhyiddin Gesa Masyarakat Dunia Main Peranan Lebih Berani

Kuala Lumpur -Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa supaya memainkan peranan yang lebih berani bagi melindungi dan mempertahankan hak rakyat Palestin dan menamatkan pertumpahan darah di Gaza.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sehubungan itu, Malaysia mahu negara-negara anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersau (UNSC) untuk bersatu dan bertindak tegas bagi menamatkan segera pencerobohan terang-terangan tentera Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.

“Masyarakat antarabangsa juga termasuk negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara Berkecuali (NAM).

“Malaysia juga menggesa Amerika Syarikat dan rakan sekutunya supaya segera menuntut Israel menghentikan kekejamannya ke atas rakyat Palestin di Gaza,” katanya dalam satu kenyataan hari Ahad.

Adalah dilaporkan bahawa Kementerian Kesihatan Gaza berkata angka kematian meningkat 1,732 orang termasuk kanak-kanak, wanita dan lelaki yang berumur manakala 9,152 orang cedera semasa serangan tentera Israel ke atas penduduk Gaza sejak 8 Julai.

Muhyiddin berkata pembunuhan tanpa belas kasihan ke atas orang awam oleh tentera Israel adalah jelas tindakan keganasan dan jenayah perang yang boleh dihukum mengikut undang-undang antarabangsa.

“Dengan apa jua cara sekalipun, saya menggesa pelaku jenayah kejam ini dibawa ke muka pengadilan,” katanya sambil mengutuk sekeras-kerasnya ke atas pasukan tentera Israel yang terus menerus melakukan pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Muhyiddin berkata Malaysia telah menuntut agar Israel segera menghentikan segera pembunuhan kejam beramai-ramai dan perbuatan tidak berperikemanusiaan ke atas penduduk awam yang tidak bersenjata di Gaza, Palestin.

One thought on “Konflik Gaza: Muhyiddin Gesa Masyarakat Dunia Main Peranan Lebih Berani

  • August 12, 2014 at 4:13 am
    Permalink

    …apa yang berlaku di Gaza adalah berpunca dari kepentingan politik kuasa besar dunia dan kelemahan pemimpin2 negara Islam menyelesaikan konflik ini…tidak cukup sekadar memprotes,memboikot dan memberi bantuan kemanusiaan setiap kali berlaku sengketa Palestine-Israel sedangkan rakyat Palestine terus diancam olih peperangan untuk sekian lama…PBB dan negara-negara Islam perlu melakukan sesuatu bagi menamatkan krisis Palestine dan Israel ini…di samping itu kedua pihak Palestine dan Israel mesti mengelak dari melakukan tindakan yang bolih mencetuskan ketegangan dan sengketa…jalan yang paling baik adalah berdamai dan menerima hakikat sejarah [atas apa yang berlaku] bagi menjamin keamanan dan kesejahteraan hidup terpelihara…jangan kerana pemimpin dengan pemimpin bergaduh rakyat yang menjadi mangsa.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.