Israel Umum Gencatan Senjata Bermula 3 Petang Ini Hingga 10 Malam

Baitulmaqdis – Tentera Israel telah mengumumkan akan melaksanakan gencatan senjata kemanusiaan selama tujuh jam di Semenanjung Gaza hari ini.

Menurut kenyataan tentera Israel, gencatan tersebut akan bermula pada 0700 GMT (3 petang waktu Malaysia) dan berakhir pada 1400 (10 malam waktu Malaysia) selepas hampir empat minggu konflik Israel dan Palestin berlarutan.

Gencatan senjata tersebut akan dilaksanakan di semua bahagian kecuali di timur bandar Rafah dengan alasan masih ada pertempuran yang berlangsung dan wujud kehadiran tentera rejim di situ.

Walaubagaimanapun pemimpin tentera rejim Israel di Tebing Barat dan Gaza, Yoav Mordechai memberi amaran bahawa pihaknya akan membalas sebarang serangan dari pihak Hamas sekiranya ia dilancarkan sepanjang gencatan senjata itu dilaksanakan.

Mordechai juga menggesa penduduk di dua perkampungan di Abasan al Kabira dan Abasan al Saghira di wilayah Khan Yunis ke selatan Gaza untuk pulang ke kediaman mereka bermula 0500 GMT (1 petang waktu Malaysia).

Sementara itu tentera Israel dilaporkan mula mengundurkan sebahagian anggota tenteranya termasuk sejumlah kereta kebal dari Gaza. Bagaimanapun ia masih melancarkan beberapa serangan udara ke atas wilayah Palestin.

Pengunduran dilaksanakan ketika perdana menteri rejim, Benjamin Netanyahu berikrar untuk meneruskan operasi ketenteraan ke atas Gaza walaupun mengambil tempoh lama dan menggunakan sebanyak mana kekuatan yang diperlukan.

Jelasnya, tentera rejim zionis mencapai kejayaan besar dalam memusnahkan infrastruktur milik Hamas.

Bagaimanapun, jurucakap Hamas Fawzi Barhum berkata, Netanyahu keliru terhadap krisis sebenar yang dihadapinya.

Hamas juga, kata Fawzi tidak akan mengalah dan meneruskan penentangan terhadap penjajah Yahudi sehingga misi tercapai.

Angka kematian di pihak Palestin kini melebihi 1,775 nyawa dengan mangsa kebanyakkannya adalah orang awam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.