Internet Medan Hina Islam-Melayu, Apa Salah Cuba Saranan Tun M – Zulkifli Jalil

Kuala Lumpur – Akhbar Utusan Malaysia hari ini menyarankan kerajaan mempertimbangkan cadangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengadakan sekatan terhadap Internet bagi mengelak ia terus disalah guna untuk menghina Melayu-Islam.

Pengarang beritanya Zulkifli Jalil berkata Malaysia perlu mengadakan sekatan Internet bagi tempoh tertentu untuk menilai sendiri pandangan rakyat Malaysia sepanjang tempoh sekatan itu walaupun polisi negara jelas tidak akan berbuat demikian.

“Apa kata sesekali dalam tempoh tertentu, akses Internet Malaysia ditapis. Idea Dr Mahathir apa salahnya dicuba. Kelak, kita boleh menilai manfaatnya, sekali gus sentimen rakyat terhadap tapisan ini.

“Terlalu banyak keganasan datang melalui Internet. Apatah lagi dalam senario negara akhir-akhir ini dengan dihujani tohmahan, fitnah dan cercaan terhadap sensitiviti Islam, orang Melayu dan institusi raja.

“Sehinggakan viral meluas di ruang siber – maka tapisan terhadap laman sosial tertentu harus diwajarkan,” katanya melalui rencana yang bertajuk “Internet: Apa salah dicuba saranan Tun M” hari ini.

Dr Mahathir pada Jumaat mengulangi gesaan Putrajaya mengenakan sekatan Internet kerana kesan negatifnya mampu menggugat kestabilan moral awam.

Katanya, terpulang kepada kerajaan melaksanakan sekatan kerana pengendali dan pemilik server juga memainkan peranan sama apabila mereka kadang-kala diarahkan mengikut telunjuk politik.

“Saya tidak peduli betapa sucinya hak kebebasan tetapi saya rasa sudah tiba masanya kerajaan Malaysia menapis Internet.

“Hari ini setiap kanak-kanak boleh mengakses kepada bahan pornografi. Mereka tidak lagi selamat daripada gangguan seksual,” katanya menerusi tulisan di blog Chedet.cc.

Zulkifli berkata, peranan yang dimainkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) saja tidak mencukupi dalam melakukan sekatan terhadap Internet sebaliknya perlu ada kepakaran luar biasa daripada pihak berkuasa.

Katanya, Malaysia merupakan antara pengguna media sosial seperti Facebook yang tertinggi di rantau ini dan ia juga terdedah menjadi lubuk kepada penggodam untuk mengambil data peribadi.

“Dengan kemunculan pautan laman sesawang berantai yang disyaki mengandungi pepijat ‘Heartbleed’, iaitu sejenis penggodam akaun pengguna pada April tahun ini, cabaran mengekang kandungan Internet tertentu pasti penuh ranjau berliku.

“Sebaik saja pautan itu ditekan, penggodam boleh mengakses semua data peribadi pengguna termasuk kata laluan, gambar, video, e-mel sehingga ke tahap mengawal akaun sosial pengguna berkenaan.

“Mungkinkah kekangan ini yang dihadapi Dr Mahathir sehingga mendorongnya mengeluarkan kenyataan pedas kelmarin. Ada baiknya saranan Dr Mahathir diperhalusi dan difikir-fikirkan,” katanya.

Akhbar itu mendedahkan untuk laman Facebook saja, pengguna di kalangan rakyat Malaysia menjangkau 12.7 juta orang – meletakkan negara di tempat ke-18 dalam statistik Facebook mengikut negara. Sejumlah 70% pengguna Facebook sekarang berada di Malaysia.

Pengakses porno yang dirintis daripada Internet di seluruh dunia untuk usia 18-24 tahun mencapai 13.6%, 25-34 tahun (19.9%), 35-44 tahun (25.5%), 45-54 tahun (20.67%) dan 55 tahun ke atas (20.3%), lapor akhbar itu.

Dr Mahathir semasa memimpin negara bersetuju Malaysia tidak perlu menyekat Internet kerana sebahagian syarat yang dikenakan pelabur luar dan syarikat teknologi besar untuk membantu negara membangunkan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang dilancarkan pada pertengahan 1990-an.

Blog chedet.cc pada minggu lalu disekat daripada diakses masuk ke dalam akaun Facebook miliknya selepas beliau menyiarkan artikel ‘The Jews’ yang menyentuh isu Yahudi dan peperangan di Gaza antara Palestin-Israel.

 

Berikut adalah artikel penuh yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia :

 

Oleh :  Zulkifli Jalil

APA kata sesekali dalam tempoh tertentu dan terhad, akses internet di Malaysia ditapis.

Idea Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dilontarkan bekas Perdana Menteri itu kelmarin apa salahnya dicuba. Dari sudut ini kelak kita boleh menilai manfaatnya, sekali gus sentimen rakyat terhadap tapisan ini.

Enam tahun lalu sudah ada ura-ura untuk menapis Internet di Malaysia sehinggakan muncul empat syarikat menghantar cadangan untuk tapisan internet.

Tetapi kerajaan waktu itu menolak kerana tidak mahu majoriti rakyat tidak berpuas hati di samping halangan teknologi untuk melakukannya.

Iran, Turki, China dan beberapa negara pernah mencuba untuk melakukan tapisan internet namun dihujani kritikan keras daripada pelbagai pihak.

Sememangnya terlalu banyak keganasan datang melalui internet. Sehinggakan muncul hak untuk tidak membenarkan aksesnya. Apatah lagi dalam senario negara akhir-akhir ini dengan dihujani tohmahan, fitnah dan cercaan terhadap sensitiviti Islam, orang Melayu dan institusi raja sehinggakan viral meluas di ruang siber – maka tapisan terhadap laman-laman sosial tertentu harus diwajarkan.

Apabila kerajaan memulakan Koridor Raya Multimedia (MSC), jaminan dikeluarkan bahawa kerajaan tidak akan menapis internet.

Namun sesuatu perlu dilakukan sekarang untuk mengimbangi impak negatif yang mendatang akibat terpaan internet.

Untuk laman Facebook sahaja, penggunanya dalam kalangan rakyat Malaysia sudah menjangkau 12.7 juta orang – meletakkan negara di tempat ke-18 dalam statistik Facebook mengikut negara. Sejumlah 70 peratus pengguna Facebook sekarang berada di Malaysia.

Bilangan pengguna Internet pula dijangka meningkat kepada 25 juta orang menjelang 2015 berbanding 18 juta orang pada 2012.

Bahkan, kadar penembusan jalur lebar isi rumah pula meningkat kepada 66.8 peratus pada akhir Jun 2013. Dengan kadar penembusan telefon mudah alih melebihi 100 peratus pula, kini terdapat 42.6 juta langganan.

Kehadiran internet di satu sisi telah mendorong akses tanpa batas, tetapi di sisi lain produk dan aktiviti di dalamnya sudah melampaui batas. Di sebalik fenomena internet, ia melahirkan keresahan.

Dikatakan pengakses porno yang dirintis dari internet di seluruh dunia sahaja untuk usia 18-24 tahun mencapai sebanyak 13. 6 peratus, 25-34 tahun (19.9 peratus), 35-44 tahun (25.5), 45-54 tahun (20.67) dan 55 tahun ke atas 20.3 peratus.

Mungkin ada cara dan kaedahnya untuk menapis internet di negara ini. Ia memerlukan kepakaran yang luar biasa daripada pihak-pihak berkuasa tanpa mengharapkan semata-mata ‘kepakaran kecil’ Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Dengan kemunculan pautan laman sesawang berantai yang disyaki mengandungi pepijat ‘Heartbleed’, iaitu sejenis penggodam akaun pengguna pada April tahun ini, cabaran mengekang kandungan internet tertentu pasti penuh ranjau berliku.

Pepijat ‘Heartbleed’ atau CVE-2014-0160 yang belum diketahui asal-usulnya, membolehkan penggodam mencuri data peribadi pengguna Facebook bagi tujuan yang tidak baik.

Kerajaan Amerika Syarikat sendiri mengeluarkan amaran kepada institusi perbankan dan perniagaan di negara itu agar memperketat kawalan keselamatan siber serta berwaspada dengan serangan penggodam yang ingin mencuri maklumat peribadi pelanggan melalui pepijat ‘Heartbleed’.

Mungkinkah kekangan ini yang dihadapi Dr. Mahathir sehingga mendorongnya mengeluarkan kenyataan pedasnya kelmarin.

Dengan Malaysia merupakan antara pengguna media sosial seperti Facebook yang tertinggi di rantau ini, ia menjadi lubuk pula kepada penggodam untuk mengambil data peribadi. Malah sehingga ke tahap `mereka’ boleh mengawal akaun media sosial yang dijangkiti pepijat tersebut.

Dan sebaik sahaja pautan itu ditekan, penggodam boleh mengakses semua data peribadi pengguna termasuk kata laluan, gambar, video, e-mel sehingga ke tahap mengawal akaun sosial pengguna berkenaan.

Ada baiknya saranan Dr. Mahathir diperhalusi, difikir-fikirkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.