Dr Asri Sokong Wan Azizah Jadi Menteri Besar?

Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata tidak menjadi masalah untuk melantik wanita sebagai menteri besar di sesebuah negeri, bagaimanapun kredibiliti dan kebolehan individu tersebut menggalas tugas perlu dipertimbangkan.

Bekas mufti Perlis itu berkata, dalam konteks Islam bidang kuasa menteri besar terbatas tidak seperti khalifah terdahulu yang menguruskan secara langsung ketenteraan, peperangan dan sebagainya.

“Pandangan ini tidak bererti saya bersetuju jika Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi menteri besar Selangor, tetapi apabila kita katakan wanita tidak boleh menjadi menteri besar, kita kena beri alasan kenapa agama tidak membenarkan,” katanya. kepada akhbar Sinar.

“Secara umumnya ada perbahasan serius di dalam kitab fiqah berhubung perkara ini dan majoriti para sarjana Islam tidak bersetuju wanita jadi khalifah dan mereka syaratkan lelaki. Tetapi kuasa menteri besar terbatas tidak seperti khalifah,” katanya.

Beliau berkata, wanita dilantik sebagai pemimpin kini sudah menjadi perkara biasa asalkan mempunyai keupayaan mentadbir kumpulan, organisasi mahupun negeri.

Asri berkata, kebiasaan lelaki sebagai ketua atau pemimpin adalah tabiat manusia yang mahukan ia berlaku.

“Seperti contoh, calon presiden Amerika Syarikat melantik lelaki walaupun mereka membincangkan hak wanita tetapi mereka tidak pernah melantik wanita pun jadi presiden, menunjukkan memang untuk jadi pemimpin mesti lelaki.

“Tabiat wanita sendiri pun meletakkan lelaki sebagai pemimpin mereka dalam rumah tangga dan sebagainya.

“Tetapi apabila bercakap mengenai pengurusan, wanita juga mampu urus banyak perkara dan terbukti ada wanita yang menjadi guru besar, ketua pejabat, menteri dan isu ini sepatutnya tidak timbul,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyentuh isu wanita tidak sesuai menjadi menteri besar di Selangor kerana tidak boleh mengiringi Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menunaikan solat Jumaat adalah sesuatu yang tidak wajar disensasikan.

“Ikut Sultan solat Jumaat bukan tugas hakiki menteri besar. Yang menjadi persoalan adalah, adakah Wan Azizah layak? Ia tiada kaitan dengan gender tetapi kemampuan beliau menjaga negeri,” katanya.

PKR pada mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Pusatnya pada 22 Julai lalu mencapai keputusan untuk meletakkan Dr Wan Azizah sebagai pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi jawatan menteri besar Selangor.

Anwar berkata, Dr Wan Azizah yang juga presiden PKR mampu memberi kestabilan kepada PR di Selangor selain bertujuan menyelesaikan isu di negeri itu yang semakin meruncing.

Bagaimanapun, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan sokongannya agar Khalid dikekalkan kerana menurutnya semua hujah dan pandangan majoriti akar umbi PAS sudah didengar dan kebanyakan bersetuju Khalid dikekalkan atas konsep amanah yang ditunaikannya.

Hadi disokong Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang turut mempertahankan Khalid kerana tidak melihat ada kesalahan yang dilakukan ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu untuk digugurkan daripada kerusi menteri besar.

Nik Aziz berkata, tidak ada sebab Khalid perlu digugurkan selepas sepenggal memimpin dengan cemerlang dan terus meningkat selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.