DAP Tawar Khidmat Guaman Pada Kiki, Tapi Biarkan Pemandu Karpal Singh Yang Setia

Georgetown – Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Huan Cheng Guan merencanakan untuk membantu C. Selvam dengan membayar wang jaminan dan memberi khidmat guaman sekiranya keluarga mendiang Karpal Singh dan parti DAP enggan berbuat demikian.

Selvam, 27, seorang warganegara India, dituduh membawa kereta secara berbahaya pada 17 April 2014 di Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan Kampar, sehingga menyebabkan kematian Karpal Singh, 74 dan Michael Cornelius, 39 sementara Ramkarpal Singh,38 dan seorang pembantu rumah mengalami luka-luka.

Pembacaan tuduhan itu dibuat di Mahkamah Sesyen Kampar pada 9 Julai 2014 dan sejak hari itu, Selvam berada didalam tahanan reman kerana beliau tidak mempunyai RM5,000 untuk membayar wang jaminan.

“Saya akan ke sana untuk membayar wang jaminan hari Isnin ini (hari ini) sekiranya keluarga Karpal dan parti DAP enggan membantu. Tujuan saya hanyalah atas unsur-unsur kemanusian dan bukan untuk mengambil kesempatan supaya mendapat publisiti,” kata Huan.

“Selvam sangat setia kepada Karpal Singh, jadi sudah seharusnya keluarga Karpal mebantu Selvam.”

Dangan nada menyindir, Huan bertanya kenapa DAP begitu cepat menawarkan khidmat guaman kepada Kiki, wanita yang dirakam memaki seorang warga emas dan memukul keretanya dengan ‘steering lock’ di Kuantan.

“Mungkin DAP hanya mahu membantu kalau sesuatu kes dapat membantu parti mereka dapat publisiti.”

Ramkarpal Singh yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor mengeluarkan satu kenyataan media yang berbunyi bahawa beliau tidak dapat membantu Selvam kerana beliau adalah saksi untuk pihak pendakwa.

Ramkarpal turut berkata bahawa Selvam berhak melantik mana-mana peguam untuk membela dirinya. Walaubagaimanapun, kenyataan media Ramkarpal tidak menyentuh soal bantuan kewangan kepada Selvam, mahu pun untuk kos guaman atau wang jaminan.

Sementara itu Marco Yap, Timbalan Pengerusi Biro Publisiti MCA berkata melalui satu kenyataan media, MCA amat hairan kerana DAP, PKR atau PAS tidak menghulurkan bantuan dalam apa bentuk sekali pun kepada Selvam walaupun mempunyai barisan peguam yang ramai dalam Pakatan Rakyat.

“Tidak ada seorangpun dalam PR yang dapat membantu membayar wang jaminan RM5,000 untuk Selvam?” tanya Marco kehairanan.

“Apakah kerana Selvam cuma seorang drebar dan untuk membelanya tidak akan memberi publisiti yang signifikan kepada PR? Atau kerana Selvam warganegara India dan tidak dapat mengundi untuk PR, jadi tidak ada guna membelanya?” tanya Marco lagi.

Marco juga menyebut kes Tony Pua sebagai contoh, di mana Tony Pua harus membayar RM200,000 kepada Syabas dan PR telah membantunya menyelesaikan tuntutan terbabit.

“RM5,000 tidaklah sebanyak itu, balaslah budi Selvam yang setia dan sanggup menghantar majikannya pada jam yang seharusnya beliau tidur.

Marco mengingatkan pengundi sekiranya DAP boleh melupakan dan meninggalkan Selvam begitu saja ketika Selvam benar-benar memerlukan bantuan, bayangkan betapa mudahnya DAP untuk melupakan dan meninggalkan janji-janji mereka kepada pengundi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.