Akhirnya Amy Search Restu Hubungan Cinta Nabila Huda

Kuala Lumpur – Pelakon cantik dan berbakat, Nabila Huda boleh menarik nafas lega kerana bapanya yang juga penyanyi rock, Amy Search sudah memberi lampu hijau berhubung hubungan cintanya dengan seorang lelaki yang masih belum didedahkan identiti sehingga kini.

Menurut laporan mStar Online, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman terbuka hati dengan keikhlasan teman lelaki Nabila kerana sanggup berdepan dengannya untuk memohon maaf atas kesilapan lalu sambil menyifatkan lelaki berkenaan sebagai seorang yang bertanggungjawab.

“Sebenarnya saya tidak pernah menyekat mana-mana lelaki yang ingin berkawan dengan Nabila kerana itu pilihannya.

“Walaupun pernah marah dengan kekasih Nabila, tetapi jauh di sudut hati, saya tidak berdendam.

“Cuma saya bersyukur kerana dia seorang yang bertanggungjawab, berani berdepan dengan saya dan kerana dia juga hubungan saya dan Nabila, Alhamdulillah, kembali jernih,” katanya.

Sebelum ini, umum mengetahui kedinginan hubungan antara dua beranak berkenaan gara-gara sikap Nabila yang sering mencetuskan kontroversi.

Amy juga pernah menegur anaknya di laman Instagram dengan nada yang kasar berhubung gambar aktres itu bermesra dengan kekasihnya ketika bercuti di luar negara.

Bagaimanapun, hubungan kekeluargaan mereka kembali jernih ketika sambutan Aidilfitri beberapa hari lalu.

Di laman sosial Amy mahupun Nabila, keduanya memuat naik gambar bahagia bersama keluarga ketika Hari Raya pertama, di samping status syukur di atas hubungan yang kembali terjalin itu.

Malah, rata-rata peminat turut sama memberikan komen di Instagram dengan menyatakan kesyukuran dan gembira dengan perkembangan terbaru itu.

“Apa yang telah berlaku sebelum ini menjadi satu pengajaran buat saya mahupun Nabila. Alhamdulillah, moga kebahagiaan ini kekal akhir hayat,” ujar pelantun lagu Isabella itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.