60,000 Anak Ayam Rentung

Tanjung Malim- Seorang penternak kerugian RM2 juta, selepas 60,000 anak ayam yang diternak dalam sebuah reban di Kampung Kelawar, rentung dalam satu kebakaran hari ini.

Pengurus ladang ternakan terbabit, Lim Chee Wah, berkata dia dimaklumkan mengenai kebakaran itu oleh pekerjanya pada jam 7.15 pagi, sebelum menghubungi pihak bomba.

“Kebakaran ini menyebabkan saya mengalami kerugian teruk, iaitu kira-kira RM2 juta termasuk kos premis,” katanya sambil menambah, kejadian itu adalah yang pertama sejak ladang itu dibuka dua tahun lalu.

Jelasnya, 30 pekerjanya cuba memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api, namun gagal kerana api marak dengan pantas dan menyebabkan reban bersaiz 61 meter x 25 meter itu musnah hampir 80 peratus.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim, Abdul Rahim Saari, berkata api dapat dikawal sepenuhnya dalam tempoh 25 minit, dan kebakaran dipercayai bermula dari bahagian tengah reban. Punca kebakaran masih disiasat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.