KUALA LUMPUR- Majlis Perundingan Malaysia bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) mempersoalkan sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merujuk lanjutan tempoh perkhidmatan tiga hakim kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, seperti yang diperuntukkan bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.
Kumpulan antara agama itu membangkitkan kenyataan Anwar sebelum ini bahawa prosedur mesti dipatuhi apabila hakim mencapai usia persaraan.
Bagaimanapun, pertubuhan itu menegaskan bahawa Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, seperti yang disebut oleh perdana menteri, tidak mempunyai peranan dalam melanjutkan tempoh perkhidmatan hakim.
“Perdana menterilah yang mesti merujuk lanjutan perkhidmatan kepada Yang di-Pertuan Agong,” kata MCCBCHST, lapor Malaysiakini pada Jumaat.
Majlis itu juga menambah, masih terdapat persoalan sama ada Anwar telah menyerahkan nama bekas ketua hakim negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, dan hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan untuk lanjutan enam bulan yang biasanya diberi kepada hakim yang bersara.