ROM – Malaysia berpotensi menerima pelaburan mencecah RM8.13 bilion hasil lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Itali, termasuk sesi mesyuarat meja bulat dan pertemuan dengan syarikat-syarikat utama negara itu.
Lawatan yang turut dihadiri beberapa menteri kanan kabinet itu menyaksikan penyertaan sebanyak 41 entiti Itali dalam mesyuarat meja bulat – terdiri daripada syarikat sektor pembuatan, perkhidmatan, perdagangan serta agensi kerajaan dan pertubuhan industri.
Anwar berkata pelaburan yang berpotensi itu meliputi pelbagai bidang strategik negara.
“Potensi pelaburan yang telah diraih melalui kedua-dua mesyuarat ini berjumlah RM8.13 bilion dalam sektor petrokimia, jentera dan peralatan, elektrik dan elektronik serta perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas,” katanya pada sidang media selepas menamatkan kunjungan di ibu negara Itali itu.
Selain pelaburan, Malaysia turut berjaya menjana potensi eksport bernilai RM425 juta dalam bidang oleokimia, tenaga boleh baharu (TBB), bahan mentah biofuel dan suplemen makanan haiwan.
Sesi libat urus yang berlangsung turut memberi ruang kepada syarikat Itali menyatakan minat terhadap kerjasama dalam teknologi tinggi, ekonomi digital, serta pembangunan mampan, termasuk infrastruktur hijau.
Dalam perkembangan lain, Anwar juga mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni. Kedua-dua pemimpin bersetuju memperluaskan kerjasama tenaga merangkumi sektor solar, geoterma dan hidrogen.
Beberapa kerjasama penting turut dibincangkan:
-
Perkongsian antara Petronas dan Eni S.p.A dalam projek bahan api penerbangan lestari di Johor;
-
Kerjasama Perodua dan Magna Steyr dalam pembangunan bateri EV;
-
Inisiatif pelaburan dan peningkatan grid tenaga, termasuk penyertaan Malaysia dalam Grid Tenaga ASEAN.
Dalam pertemuan itu juga, Anwar memohon pengiktirafan Itali terhadap pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), di samping menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR).
“Malaysia menyasarkan untuk berada dalam kategori negara berisiko rendah dalam sistem penanda aras EUDR menjelang 2026,” ujar beliau.
Malaysia turut berharap Itali dapat memainkan peranan dalam mempercepatkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-Kesatuan Eropah yang masih tertangguh.
Lawatan rasmi Anwar ke Itali dibuat atas jemputan Perdana Menteri Meloni, dengan delegasi Malaysia turut dianggotai Menteri Luar, Menteri Pengangkutan, Menteri Pertanian, Menteri Pertahanan, serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Data rasmi menunjukkan perdagangan antara Malaysia dan Itali meningkat 2% pada tahun 2024, mencecah RM14.61 bilion. Bagi Januari hingga Mei 2025, prestasi kekal positif dengan pertumbuhan 3.3%, iaitu RM6.5 bilion.
Anwar kini meneruskan lawatan ke Perancis pada 3 dan 4 Julai sebagai sebahagian daripada rangka kerja diplomatik dan ekonomi negara di Eropah.