KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkenalkan inovasi baharu membabitkan makanan haiwan ternakan, sebagai pilihan dan mengurangkan tahap kebergantungan kepada sumber sedia ada.
Idea dikenali sebagai MyShroomFeed itu dibangunkan penyelidik institusi pengajian tinggi awam berkenaan mengetengahkan penggunaan dedak cendawan sebagai alternatif bagi menggantikan jagung.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin, berkata inovasi berterusan UPM itu dibangunkan menerusi penanaman cendawan tiram menerusi infrastruktur solar Photovoltaic (PV).
Beliau berkata, pengenalan makanan alternatif haiwan ternakan itu sekali gus mampu menyelesaikan keresahan berhubung kesukaran mendapatkan bekalan bahan mentah dalam kalangan penternak di negara ini.
“Kementerian sangat berharap pembabitan berterusan UPM sebagai universiti penyelidikan pertanian negara dan cakna penyelesaian pelbagai isu terkini membabitkan sektor pertanian.
“Antaranya ialah alternatif bekalan dedak ternakan, keterjaminan bekanan telur dan daging serta ketandusan tanah pertanian,” katanya ketika merasmikan Program Integrated Agrivoltaic Trail di UPM, Serdang, hari ini.
Yang turut hadir, Naib Canselor UPM, Datuk Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman dan Ketua Projek MyShroomFeed, Dr Mohammad Effendy Ya’acob.
Sementara itu, Mohammad Effendy berkata, penghasilan inovasi itu dibuat menggunakan hampas akar cendawan tiram dan bongkahnya, selain mengambil kira nilai nutrisi yang tinggi serta tempoh tuaian tumbuhan berkenaan.
“Ini kerana, tempoh tuaian cendawan adalah singkat, selain dedak ini turut mengandungi Crude Protein (CP) yang tinggi serta ia boleh digunakan bagi ternakan ayam, itik, arnab dan kambing.
“Hanya tujuh hari diperlukan bagi menuai cendawan tiram selepas bongkah matang, selain kaedah penanaman lebih mudah berbanding jagung bijirin yang memerlukan kira-kira 120 hari bagi tempoh penanaman,” katanya.
Mengulas kejayaan itu, Mohd Roslan berharap penghasilan MyShroomFeed akan membantu mengurangkan kebergantungan import jagung bijirin dan bahan protein utama bagi penghasilan makanan ternakan.
“Saya juga berharap inisiatif ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, pasukan penyelidik UPM turut membangunkan ‘Agrivoltaic Mushroom Tunnel’ yang juga inovasi pertama di dunia bagi penanaman cendawan tiram berskala besar di bawah infrastruktur solar.
Penanaman cendawan tiram di Ladang Solar Puchong berkeluasan dua hektar berpotensi menghasilkan sebanyak 600,000 bongkah dengan hasil tuaian mampu mencecah 60 tan yang diagihkan kepada 10 zon penanaman.
Syarikat Pemula UPM, Putra Science Park, UPM, AgroPV Integrated SB serta Persatuan Jurutera Pertanian dan Makanan Malaysia juga menjalin kerjasama strategik bagi membangunkan teknologi sistem solar Integrated Agrivoltaic Trail sebagai platform dan ‘Proof of Concept’, iaitu integrasi pertanian dalam sistem PV. – BH