KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan terpaksa masuk campur dalam hal-hal mikro kerana sikap ‘kurang pintar’ menteri-menterinya.
Dalam podcast Keluar Sekejap, bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan berkata, tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing campur tangan dalam urusan melepaskan pelancong dari China sekali gus menimbulkan kekecohan sehingga mengundang lawatan mengejut Perdana Menteri ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Pada akhirnya Perdana Menteri kena datang (KLIA) untuk dilihat menyelamatkan keadaan, adakah Perdana Menteri terlalu sibuk dengan hal-hal lain tak dapat fokus kerja Kementerian Kewangan?
“Ini menyumbang kepada persepsi, perkara-perkara macam ini menyumbang kepada persepsi bahawa Perdana Menteri terpaksa uruskan banyak hal mikro dan mungkin ‘this kind of silly’ daripada menteri-menteri dia sendiri maka beliau terpaksa buat perkara itu.
“Situasi ini tak membantu apabila dilihat Perdana Menteri terpaksa masuk campur dalam hal-hal mikro,” katanya pada Selasa.
Tambah beliau lagi, adalah janggal kenapa Menteri Pelancongan perlu datang turun KLIA dan masuk campur secara langsung sesuatu hal yang spesifik.
“… kemudian kalau benar laporan polis yang dibuat oleh pihak imigresen Menteri Pelancongan menengking penjawat awam di khalayak ramai itu bukan sifat seorang pemimpin,” bidasnya.
Sementara itu, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga senada dengan Shahril mengatakan tindakan King Sing adalah amat tidak wajar.
“Kami setuju perangai dan tindakan Menteri ini adalah tidak mencerminkan kepimpinan menteri yang bagus, terutamanya bila agensi-agensi itu tidak berada di bawah penyeliaan beliau dan tindakan tersebut adalah tindakan yang keterlaluan.
“Secara politik, tindakan King Sing itu ‘bad timing’ untuk kerajaan sebab mahu tak mahu walaupun menteri ini dari Sarawak dia adalah sebahagian daripada pentadbiran kerajaan perpaduan sedia ada.
“Bila dia buat hal macam ini yang akan dilihat oleh sebahagian daripada rakyat sebagai tindakan yang keterlaluan yang mengaibkan yang memalukan yang membawa satu imej yang buruk kepada penjawat awam ini akan ada kesan dalam PRN akan datang, tak kena masa,” tegas Khairy lagi.
Dalam pada itu, Shahril juga menambah era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) 2018-2020 jelas memaparkan PH kurang popular di kalangan penjawat awam.
“2018-2020 PH kurang popular dan menghadapi masalah yakni hubungan mereka dengan penjawat awam.
“Persepsi cara mereka melayan penjawat awam itu tidak baik membuatkan pengundi terutama Melayu-Bumiputera tak selesa, jangan ulang perbuatan sama,” nasihat beliau.
Khamis minggu lalu, King Sing mendakwa wujud amalan salah guna kuasa dan rasuah membabitkan sebilangan kakitangan JIM yang bertugas di pintu masuk utama negara itu, sehingga mengundang beberapa kenyataan penafian daripada kesatuan dan kakitangan yang mewakili agensi berkenaan.
Pada 2 Julai lepas, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan siasatan rapi akan dibuat terhadap isu membabitkan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di KLIA khususnya dakwaan wujud salah laku dan amalan rasuah.
Perdana Menteri berkata, secara umumnya, penugasan kakitangan jabatan imigresen itu di pintu masuk utama negara itu berjalan dengan baik dan agensi itu juga memberi respon sangat baik dan positif, terutama terkait perkara berbangkit sejak beberapa hari lalu ini.
“Saya ingin bagi jaminan siasatan rapi akan dibuat. Tapi umumnya majoriti petugas Imigresen berjalan dengan baik. Cuma ada beberapa masalah kita adakan siasatan untuk perbaiki atau kalau ada kesilapan, akan diambil tindakan sewajarnya.
“Saya cuba teliti langkah diambil setakat ini dan saya lihat Imigresen buat respon yang sangat baik dan positif. Yang harus kita kenalpasti adalah kelompok kecil yang masih tidak mampu membawa perubahan termasuk berdepan dengan beberapa pertuduhan. Siasatan rapi akan dibuat,” katanya.