Najib Tak Mengaku Salah, Mohon Empat Pertuduhan Dibicarakan

KUALA LUMPUR – “Tidak bersalah dan mohon dibicarakan.”

Itu pengakuan Datuk Seri Najib Razak selepas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan satu tuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah RM42 juta dibacakan terhadapnya sekali lagi di Mahkamah Tinggi sebentar tadi.

Sementara itu, Peguam Negara, Tommy Thomas, memberitahu mahkamah walaupun pertuduhan yang dikenakan terhadap bekas perdana menteri itu adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin, pihaknya tidak membantah sebarang jaminan diberikan.

Beliau menawarkan jaminan RM4 juta dengan dua orang penjamin tanpa syarat tambahan.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, membantah jumlah itu kerana menyifatkannya terlalu tinggi.

Beliau memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan mengambil kira perkhidmatan anak guamnya dalam berkhidmat kepada kepada rakyat.

Katanya, Najib tidak mempunyai kesalahan lampau, malah tidak mempunyai kesalahan trafik.

Beliau memohon jaminan antara RM500,000 dan RM800,000 dikenakan terhadap anak guamnya dan memaklumkan Najib akan mencagarkan rumahnya bagi membayar jaminan itu memandangkan semua akaun milik ahli keluarganya sudah dibekukan.

Tommy Thomas membantah rayuan itu dan menegaskan jaminan RM4 juta itu adalah jumlah yang wajar kerana ia kurang 10 peratus daripada jumlah RM42 juta seperti pertuduhan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Sofian Abd Razak, kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM1 juta dengan dua orang penjamin serta memerintahkan dua pasport Najib diserahkan kepada mahkamah. – BH

One thought on “Najib Tak Mengaku Salah, Mohon Empat Pertuduhan Dibicarakan

  • July 4, 2018 at 3:29 pm
    Permalink

    muak meluat benci…. semoga terbukti salahlaku nya….

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.