Vaksin Penyakit Anjing Gila Dihantar Ke Sarawak

SITIAWAN – Jabatan Perkhidmatan Veterinar menghantar 6,000 dos vaksin penyakit anjing gila atau rabies ke Sarawak, semalam untuk mengekang penularan penyakit itu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata vaksin berkenaan akan diberikan kepada anjing dan kucing yang tidak dijangkiti rabies di tiga kampung yang terbabit di Serian.

Ketika ini, katanya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengenal pasti terdapat 160 anjing dan 180 kucing di dalam radius satu kilometer di kawasan terbabit yang boleh diberikan vaksin berkenaan.

“Kami juga menghantar empat pegawai veterinar ke sana bagi membantu Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak memantau keadaan,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas perasmian Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Lumut, yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Kampung Acheh, di sini, hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Nogeh Gumbek serta Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.

Jumaat lalu, Kementerian Kesihatan mengesahkan tiga kanak-kanak, termasuk dua beradik di Kampung Paon Sungai Rimu Bakung dan Kampung Lebur, Gedong, dalam daerah Serian, dijangkiti virus rabies.

Kanak-kanak terbabit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam kenyataannya pada Sabtu lalu berkata, semua kes membabitkan mangsa berusia antara empat tahun dan tujuh tahun, yang menunjukkan gejala seperti demam, kadangkala bersikap pelik, agresif dan rasa takut terhadap air.

Ahmad Shabery berkata, semua anjing dan kucing yang menunjukkan gejala tidak sihat atau sakit akan dipantau dalam masa 10 hari bagi memastikannya bebas daripada rabies sebelum pemantauan diperluaskan meliputi radius enam kilometer dari kampung terbabit. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.