Tak Dapat Duit, Anak Kelar Leher Bapa

Seorang lelaki warga emas meninggal dunia selepas dipercayai dikelar leher hingga mati oleh anaknya sendiri.

Dalam kejadian di Felda Lui Timur, Jempol malam tadi, S Valaytham, 73, dipercayai dibunuh anak lelakinya yang dikatakan tidak berpuas hati kerana tidak diberikan wang, lapor myMetro.

Mayat peneroka itu ditemui terbaring di ruang tamu rumah dalam keadaan berlumuran darah.

Berdasarkan gambar yang dikongsi laman itu, kelihatan rumah itu dalam keadaan bersepah dan parang yang dipercayai digunakan pula masih basah dengan darah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Noorzainy Mohd Noor dilaporkan berkata, dalam kejadian jam 10.30 malam itu, berlaku pertengkaran antara mangsa dan anak lelakinya yang berusia 45 tahun.

“Suspek dikatakan mengambil parang mengelar leher mangsa. Kejadian disedari jiran yang terdengar bunyi bising lalu ke rumah mangsa dan terkejut melihat keadaan mangsa berlumuran darah.

 

“Jiran terbabit segera menghubungi polis. Anggota yang tiba di lokasi kemudian menghubungi ambulans dan mangsa disahkan meninggal dunia.

“Polis turut menemui parang disyaki digunakan suspek di atas lantai rumah berkenaan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat polis daerah (IPD) Jempol, hari ini.

Mayat dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk bedah siasat.

Usaha memburu suspek sedang giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.