Suri Rumah Kerugian RM240,000 Terpedaya Dengan Sami Nombor Ekor

KUALA LUMPUR – Seorang suri rumah kerugian hampir RM240,000 apabila terperdaya dengan ‘sami’ dari Thailand yang kononnya mampu memberi nombor ramalan yang tepat, bagi tempoh Ogos 2015 hingga Januari 2016.

Mahu dikenali sebagai Wong, 26, wanita itu berkata, dia mendapat maklumat mengenai sami tersebut menerusi risalah yang diedarkan ke rumahnya pada Ogos 2015 dan mendorongnya untuk berhubung dengan nombor telefon yang disertakan, lapor Bernama.

Menceritakan pengalamannya pada sidang media bersama Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perhubungan Awam Gerakan, Ben Liew Pok Boon di sini semalam, Wong berkata, panggilan itu dijawab oleh seorang lelaki bernama Seng Shu.

Menurutnya, lelaki itu memberitahu, Wong ada ‘ong’ untuk menang hadiah pertama RM960,000 menerusi nombor ekor, namun dia perlu membayar RM20 untuk upacara sembahyang dan wang itu perlu dimasukkan dalam akaun bank atas nama ‘Suvitta Agarbathi Dharma’.

“Dua hari kemudian, saya menerima satu nombor 4D dengan azimat menerusi kurier dan diberitahu untuk membakar azimat itu serta menghubungi seseorang yang bernama Ah Dong dari Thailand,” katanya.

Sehubungan itu, menurut wanita terbabit, Ah Dong yang mendakwa dirinya pembantu kepada sami tersebut memberinya satu nombor 4D yang sama dengan nombor plat motosikalnya, namun nombor itu tidak dibuka untuk jualan dan apabila dimaklumkan kepada Ah Dong lelaki itu memintanya memasukkan RM360 ke dalam akaunnya bagi membeli setanggi.

Wong berkata, dia menerima nombor ramalan baharu seminggu kemudian, namun didapati nombor tersebut telah pun keluar sebelum ini.

Menurut Wong, perkara itu berlaku berulang kali dengan keseluruhan 32 pembayaran dilakukannya melibatkan jumlah RM240,000.

Katanya, dia hanya tersedar ditipu selepas wangnya habis digunakan untuk membeli nombor ramalan hadiah pertama yang dijanjikan, selain menanggung hutang dengan ibu bapa dan ibu saudara berjumlah RM220,000 termasuk wang dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja milik ibunya berjumlah RM40,000.

“Kali terakhir saya menghubungi Ah Dong menerusi telefon pada Januari 2016 dan selepas beberapa bulan memasukkan wang ke dalam akaunnya akibat alasan yang diberikan, saya mendapati saya ditipu dan saya terus membuat laporan polis di Balai Polis Jenjarom pada 30 April 2016,” katanya yang tidak pernah bersemuka dengan suspek.

Sementara itu, Ben Liew berkata, kes yang dialami Wong merupakan kes penipuan nombor ramalan melibatkan kerugian terbesar yang diterima pihaknya tahun ini.

“Kami turut menjalankan siasatan ke atas akaun bank tersebut di Bank Negara Malaysia dan didapati ia sebenarnya akaun korporat yang telah ditutup pada Februari lalu,” katanya.

Menurutnya, sindiket itu turut aktif di beberapa negeri lain seperti Perak dan Pulau Pinang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.