Pura-Pura Beli Makanan Kucing Sebelum Merompak

GEMAS – Imej seorang lelaki yang menyamar sebagai pelanggan sebuah kedai barangan kucing sebelum menyamun telefon bimbit dan dompet pembantu kedai berkenaan di Dataran Satria, di sini, dalam kejadian minggu lalu kini jadi tular sejak kelmarin.

Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak berkata, susulan insiden itu, mangsa berumur 23 tahun membuat laporan di Balai Polis Gemas.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira 1.20 petang Rabu lalu, mangsa didatangi seorang pelanggan lelaki berumur lingkungan 30-an yang seolah-olah berminat membeli sangkar kucing dengan bertanyakan harganya.

“Bagaimanapun, lelaki tersebut berubah fikiran dan masuk ke kedai sebelum menyuruh mangsa membungkus makanan kucing. Suspek kemudian memberitahu kepada mangsa duitnya tidak mencukupi dan bertanyakan lokasi bank terdekat.

“Mangsa menunggu suspek yang tidak datang-datang bagi mengambil serta menjelaskan barang belian sehingga hampir 40 minit dan menyedari telefon bimbitnya telah lesap,” katanya di sini, semalam, lapor MD.

Hamazah berkata, mangsa segera menghubungi pengurusnya dan membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta mendapati lelaki berkenaan turut mencuri dompet miliknya.

Susulan kejadian itu, katanya, mangsa kerugian kira-kira RM1,000 membabitkan kehilangan telefon bimbit Samsung S7 Edge, wang tunai RM70 dan dokumen penting seperti kad pengenalan serta lesen memandu.

“Kita telah memperolehi rakaman CCTV dan akan dihantar ke unit forensik Cheras untuk tujuan analisis serta pengecaman. Suspek berbadan gempal, berambut pendek, perut buncit serta berkulit sawo matang.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.