Kontraktor Didakwa Buat Tuntutan Palsu Untuk Kerja Pembaikan

KOTA KINABALU – Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah atas dakwaan membuat tuntutan palsu membabitkan kerja pembaikan bernilai RM19,800 di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kinarut pada tahun 2013.

Kaslan Jiman, 46, membuat pengakuan itu di hadapan hakim Abu Bakar Manat, ketika dihadapkan di Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini.

Abu Bakar membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam dijamin RM20,000 dengan RM8,000 deposit dan seorang penjamin, manakala pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Berdasarkan fakta kes, pada 28 Oktober 2013, tertuduh didakwa memperdaya Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dengan mengemukakan invois tidak bertarikh bernombor RW0413 dan Pesanan Kerajaan P13000085 bertarikh 22 Oktober 2013 kepada Penolong Akauntan JANM Kota Kinabalu, Jusline Lingok.

Dokumen itu mengandungi pernyataan dan butiran mengenai kerja pembaikan pintu pejabat pentadbiran, perpustakaan dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar IKBN Kinarut bernilai RM19,800 yang didakwa sudah dilaksanakan tetapi sebenarnya tidak dibuat.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta yang sama.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM, Awang Samsul Baharam. Mahkamah menetapkan 14 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen berkaitan. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.