Kesibukan Penyebab Belum Dikurnia Anak Kata Izzue Islam

Pelakon dan penyanyi, Izzue Islam akui tiada masa berehat dan bercuti bersama isteri, Awin adalah antara penyebab mengapa dia masih belum dikurniakan zuriat.

Menurut Izzue, dia banyak menerima nasihat supaya berehat daripada kerja untuk memudahkan pasangan itu menimang cahaya mata.

“Saya akui sejak saya berkahwin, saya belum ada masa untuk berehat daripada kerja apatah lagi untuk bercuti.

“Jadual kerja saya memang penuh dan saya hanya dapat bercuti jika ada produksi yang menunda atau membatalkan temu janji penggambaran atau sebagainya.

“Ramai yang menasihati saya supaya mengambil masa untuk bercuti dan berehat bersama isteri kerana ia salah satu cara memudahkan kami untuk menimang cahaya mata.

“Bukan tak mahu bercuti, cuma saya dan isteri memang suka bekerja dan tidak sampai hati untuk menolak tawaran kerja yang diterima kerana pada saya, selagi orang mahukan kita, selagi itulah saya tak mahu tolak rezeki,” katanya seperti memetik laporan AstroGempak.

Difahamkan sebelum ini, Izzue ada menyuarakan hasratnya untuk menimang cahaya mata selepas empat tahun mendirikan rumahtangga bersama isteri.

Bagaimanapun menurut Izzue, dia tidak pernah berputus asa untuk berusaha menimang cahaya mata, malah dia merancang untuk berjumpa dengan pakar bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Kami memang ada merancang untuk berjumpa pakar tapi belum ada masa kerana sibuk dengan jadual seni. Insya-Allah, suatu hari nanti.

“Alhamdulillah, setakat ini saya dan isteri tidak berasa tertekan dengan persoalan mengenai anak. Kami anggap mereka yang bertanya adalah mendoakan tentang kami,” katanya lagi.

Mengenai perkembangan terbaru, Izzue baru muncul dengan single solo terbaharunya berjudul Sahabat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.