Kerusi Menteri Besar Kelantan Jadi `Rebutan’

Pengumuman penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menamakan Husam Musa sebagai calon Menteri Besar Kelantan jika Pakatan Harapan menang pilihan raya kecil (PRK) ke-14, disambut sinis oleh pemimpin PAS.

Ini kerana pemimpin PAS melihat ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa DAP adalah kuasa sebenar dalam Pakatan dan bagaimana DAP cuba menjadi abang long dalam pakatan berkenaan dengan menamakan Husam sebagai calon MB di negeri itu.

Selain itu, dengan membuat pengumuman awal, ia seolah-olah memperlihatkan bahawa DAP sedang berusaha untuk mengatur ‘orang-orang’ yang patuh (kepada parti itu) disebabkan mereka tidak bertanding di Kelantan.

Namun dari sisi lain, pengumuman itu dikatakan membantu menamatkan kerjaya politik Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN) itu. Ini kerana namanya diisytihar sebagai Menteri Besar sebelum menang pilihan raya dan tanpa restu pihak Istana.

Husam sebelum ini pernah dikatakan ditolak oleh Istana Kelantan untuk dilantik dalam kerajaan negeri. Pada 2013, nama beliau yang ketika itu masih dalam PAS, dikatakan tidak mendapat restu daripada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V untuk berada dalam barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan menyebabkan beliau terpaksa disingkirkan di saat-saat akhir.

Walaupun nama Husam sudah dimasukkan di tempat yang paling atas di antara barisan pimpinan terpilih namun ditolak oleh baginda menyebabkan Menteri Besar terpaksa mencari pengganti lain untuk memastikan proses angkat sumpah diteruskan.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub dalam nada berbeza telah menegaskan bahawa itu hanya pandangan peribadi Kit Siang, dan bukan sesuatu yang dipersetujui oleh PAN dan DAP.

Ini kerana bagi Salahuddin, isu pelantikan Menteri Besar adalah hak rakyat tanpa campur tangan pihak luar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.