Kenapa Gelabah, Salleh Keruak Tanya DAP

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak bertanya kepada Ahli Parlimen Kluang dari DAP, Liew Chin Tong mengapa menggelabah dengan kejayaan Barisan Nasional memajukan negara ini.

“Keyakinan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Razak) kepada kemakmuran ekonomi memang berasas. Laporan MITI mencatatkan kadar eksport meningkat 21.2 peratus pada April 2017 kepada RM298.65 bilion.

“Nilai dagangan antara Malaysia dan China pula adalah sebanyak RM433 bilion dan dijangka terus meningkat kepada RM694 bilion pada tahun berikutnya. Oleh itu, pencapaian ini semestinya memberi manfaat kepada kekuatan, kestabilan dan pertumbuhan ekonomi negara.

“Jadi, dengan kejayaan kita memajukan negara ini, apakah sebabnya yang membuatkan Liew menggelabah. Tidak bersyukurkah kita dengan kejayaan yang telah negara kita capai,” tanya Salleh dalam blognya.

Liew sebelum ini mendakwa Najib akan membubarkan Dewan Rakyat pada bulan September dan Oktober akan datang kerana kecelaruan pembangkang, kerjasama BN-PAS dan kejayaan program ekonomi.

Mengulas lanjut, Salleh berkata, Liew membuat dakwaan berdasarkan andaian kerana tidak ada sesiapa pun yang tahu bila Najib akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk berbuat demikian.

“Umno dan BN sekarang ini menumpukan masa untuk merancang pembangunan ekonomi negara bagi mensejahterakan kehidupan rakyat. Pembangkang pula berkhayal setiap hari untuk menunggu waktu pembubaran Dewan,” kata beliau.

Sambil menegaskan Umno tidak mempunyai masalah, jelas Salleh, hubungan antara Najib dengan timbalannya dan para pemimpin Umno adalah rapat.

“Tidak ada air yang berkocak, malah Tengku Adnan (Tengku Mansor) dan Annuar Musa setia menjalankan tugas masing-masing.

“Yang ada masalah seperti yang diakui oleh Chin Tong sendiri ialah pembangkang,” katanya lagi.

 

Sekarang ini, rakyat sudah bosan dengan pelbagai tuduhan yang dilemparkan dengan kepercayaan rakyat dan masyarakat antarabangsa kepada ketelusan kerajaan semakin meningkat, tambahnya.

“Contohnya, sepanjang separuh tahun 2017 pelabur-pelabur asing daripada China, Arab Saudi dan India terus melabur dengan nilai keseluruhan pelaburan sebanyak RM366 bilion.

“Fakta ini menunjukkan masyarakat antarabangsa percaya dan yakin dengan kestabilan politik dan ekonomi negara,” tambah Salleh.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.