Jangan Pilih Politikus Tak Fasih Bahasa Melayu

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan pengundi di negara ini memilih hanya calon yang mampu bertutur bahasa Melayu yang baik untuk dijadikan wakil rakyat.

Katanya, jika warga asing seperti dari Bangladesh mampu bertutur dalam bahasa Melayu hanya selepas beberapa bulan tiba di negara sini tidak ada sebab mengapa rakyat di Malaysia mengabaikan bahasa kebangsaan berkenaan.

“Patutkah ada orang Malaysia yang hidup membesar di sini tetapi tidak fasih bahasa Melayu?

“Kelompok seperti ini sepatutnya tidak diberikan ruang dalam politik negara ini. Mereka ini akan menghilangkan identiti negara kita,” melalui kenyataan terbuka di Facebook.

Menjelang pilihan raya akan datang, kata Mohd Asri, orang ramai perlu memastikan hanya calon yang dapat bertutur bahasa Melayu dengan baik dihantar ke dewan undangan negeri atau Dewan Rakyat.

Beliau mengulas keputusan Kementerian Kesihatan memberikan kelonggaran untuk tidak lulus mata pelajaran bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada pegawai lantikan kontrak.

Memetik Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Bernama pada 2 Julai melaporkan graduan perubatan yang berkelayakan diberi kelonggaran syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu (BM) peringkat SPM untuk dilantik secara kontrak sebagai Pegawai Perubatan Gred UD41.

Katanya, mereka yang layak akan menjalani latihan siswazah selama dua tahun dan khidmat wajib dua tahun.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kata Dr Noor Hisham memberi persetujuan untuk kelonggaran syarat itu pada 23 Feb lalu.

Bagaimanapun katanya calon yang memohon lantikan secara tetap sebagai pegawai perubatan di Kementerian Kesihatan tetap perlu lulus BM di peringkat SPM.

Kata Mohd Asri setiap negara mempunyai identiti tersendiri dan di sini, satu daripada ciri itu ialah bahasa Melayu.

“Bagaimana mungkin orang Malaysia tidak boleh berbahasa Melayu?

“Kalau di peringkat pendidikan, bagaimana mungkin seorang terpelajar di Malaysia tidak boleh berbahasa Melayu?” katanya.

Mohd Asri berkata seseorang yang gagal menguasai bahasa rasmi bagi negaranya sendiri, ia jelas menunjukkan berlaku “kecacatan”.

“Dukacita apabila ada orang Melayu bangga tidak fasih berbahasa Melayu. Lebih pelik lagi menganggap (keadaan) itu suatu kelebihan.

“Itu sebenarnya adalah satu kedangkalan dan kecacatan diri!” katanya.

Penjelasan KKM

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan mengambil maklum semua pendapat yang diutarakan berhubung keputusan JPA itu.

Katanya, mengikut Seksyen 13 (2) Akta Perubatan 1971 seseorang graduan perubatan yang diberi pendaftaran sementara oleh Majlis Perubatan Malaysia wajib menjalani dan melengkapkan latihan siswazah dengan kompeten sebelum boleh diberi pendaftaran penuh sebagai seorang pegawai perubatan yang bertauliah.

Seksyen 40 Akta yang sama, katanya, turut menetapkan bahawa pegawai perubatan perlu juga menjalani khidmat wajib alam sektor awam setelah diberi pendaftaran penuh.

“Susulan pengumuman Bajet 2017 pada Oktober 2016, graduan perubatan kini adalah dilantik secara kontrak sebagai Pegawai Perubatan UD41 untuk menjalani latihan siswazah selama dua tahun dan khidmat wajib selama dua tahun.

Bukan perkara baru

“Sekiranya seorang graduan perubatan tidak dapat menjalani latihan siswazah dan khidmat wajib, graduan perubatan tersebut tidak dibenarkan sama sekali untuk menjadi doktor perubatan di Malaysia.

“KKM prihatin bahawa ini tentu akan menjejaskan masa depan mereka setelah berusaha sedaya upaya menjalani jurusan perubatan di universiti.

“Oleh itu, kelonggaran syarat kelayakan lulus BM di peringkat SPM untuk pelantikan secara kontrak jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 ini akan membantu melancarkan lantikan kontrak bagi graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan BM di peringkat SPM atas pelbagai sebab.

“Misalnya graduan perubatan yang telah menjalani persekolahan di luar negara, mereka yang menduduki peperiksaan O-Level di sekolah antarabangsa atau Bahasa Kebangsaan di universiti, dan beberapa kategori lain.

“Kelonggaran ini bukanlah suatu perkara baru, malahan lantikan kontrak bagi pegawai perubatan dan pakar perubatan bukan warganegara juga tidak memerlukan kelulusan BM di peringkat SPM,” katanya.

Sebelum ini, kata Dr Noor Hisham, kelonggaran juga pernah diberi bagi lantikan tetap pegawai perubatan ke perkhidmatan awam, memandangkan pada masa tersebut terdapat kekurangan yang akut bagi bilangan pegawai perubatan untuk menampung keperluan perkhidmatan yang kritikal.

“Namun begitu, sejak awal tahun ini kelonggaran tersebut telah diketatkan semula bagi lantikan secara tetap sebagai pegawai perubatan di KKM, di mana calon perlulah Lulus BM di peringkat SPM.

“Justeru, keputusan ini adalah selaras dengan kedudukan BM sebagai bahasa kebangsaan dan memartabatkan bahasa rasmi Persekutuan ini seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32),” katanya.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.