Husam: Firma Sekutu Kerajaan Kelantan Di Senarai Pemerhatian, Apa Seterusnya?

ADUN Salor Datuk Husam Musa mahu kerajaan negeri Kelantan mendedahkan tindakannya selepas Bank Negara menyenaraikan sebuah firma yang memeterai perjanjian dengannya untuk melindungi kira-kira 396,000 hektar hutan sebagai syarikat yang beroperasi tanpa kelulusan.

Husam berkata syarikat, Climate Protector Sdn Bhd, adalah salah satu dari empat syarikat yang dinamakan oleh Bank Negara menerusi satu senarai pemerhatian atau amaran kepada pengguna pada 23 Jun.

Senarai syarikat dan laman sesawang berkenaan tidak diberi kebenaran atau kelulusan di bawah undang-undang dan peraturan berkaitan yang ditadbir oleh Bank Negara.

Climate Protector memeterai perjanjian dengan kerajaan negeri Kelantan pada 9 Jan, 2017. Perjanjian itu meliputi tempoh 30 tahun.

Bagaimanapun, Husam berkata kerajaan negeri kini perlu tampil menyatakan tindakan seterusnya selepas Bank Negara mengeluarkan amaran itu.

“Selepas pendedahan ini, apa tindakan yang akan diambil oleh kerajaan Kelantan?

“(Adakah mereka akan) membatalkan perjanjian? Memberitahu orang ramai jangan terpedaya?
Berdiam diri seperti biasa?

“Sanggup membiarkan rakyat sendiri terjejas? Membuat laporan polis, BNM dan SPRM?” soal
Husam, yang juga adalah naib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH).

Climate Protector dilaporkan sebagai “syarikat kredit karbon” pertama di Malaysia yang mendakwa teras perniagaannya adalah “inisiatif melindungi alam sekitar daripada pemusnahan hutan dan degradasi (REDD).”

Lima bulan lalu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perjanjian dengan kerajaan negeri Kelantan itu bercanggah dengan syarat yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Mekanisme ini adalah berasaskan prinsip pembiayaan bagi jumlah pengurangan pelepasan gas rumah kaca dan tidak melibatkan mekanisme pasaran,” kata Wan Junaidi.

Sehubungan itu, menurutya, semua kerajaan negeri digesa untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai inisiatif REDD daripada Bahagian Pengurusan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di talian 03-88861140 atau melalui e-mel di aduannre@nre.gov.my bagi memastikan kesahihan maklumat mengenai inisiatif REDD.

Walaupun demikian, Husam berkata, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob, pada 26 Jun tidak memanadang berat amaran Bank Negara itu.

 

“Rakyat berhak untuk mengetahui sama ada langkah Climate Protector menggunakan kelulusan sejuta ekar HSK (hutan simpanan Kelantan) itu dengan mengutip wang orang ramai dengan menjual token atau apa yang didakwa cryptocurrency dipersetujui oleh kerajaan Kelantan atau tidak.

“Pertama, syarikat mengutip wang secara haram menggunakan kelulusan kerajaan negeri? Kedua, orang ramai mungkin menjadi mangsa kepada skim penipuan? Ketiga, syarikat mendapat untung percuma?

“Jika ya, adakah kerajaan Kelantan turut menjadi mangsa atau bersubahat?” soalnya.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.