Hanya Mereka Terpilih Sahaja Layak Poligami Kata Ashraf Muslim

PUTRAJAYA — Pelakon Ashraf Muslim menegaskan bukan semua lelaki mampu berpoligami kerana ia suatu kurniaan Tuhan.

Menurut Ashraf, 35, berkata, malah wanita juga perlu membuat penilaian sama ada suami mereka cukup layak untuk memiliki isteri lebih daripada satu.

“Saya tidak menggalakkan kerana [poligami] hanya mereka yang terpilih saja. Bukan semua orang mampu untuk berpoligami.

“Isteri juga kena pastikan suami betul-betul bagus dan boleh menjalankan tugas dengan baik selepas dia mahu berkahwin lagi,” katanya seperti memetik laporan ProjekMMO.

Tambahnya, dia mengamalkan poligami sejak empat tahun lalu selepas berkahwin dengan Wan Sakinah Ahmad Saburi di Selatan Thailand.

Sakinah merupakan isteri kedua sebelum Ashraf menikahi Noor Dayana Lokman pada 2011 di tanah suci Mekah.

Ashraf berkata pengamal poligami bukan sahaja terdiri daripada golongan bijaksana malah memiliki tahap kesabaran yang tinggi.

“Perlu bijak dalam segala hal. Pengurusan masa, mengurus anak-anak dan kewangan. Kedua perlu sabar, ketiga dan keempat pun perlu bersabar.

“Bila sabar itu tinggi, alhamdulillah proses itu senang,” katanya.

Pelakon filem Aku Masih Dara berkata sejarah kehidupan Nabi Muhammad perlu diteladani dalam melayari kehidupan berpoligami.

Katanya, baginda memberikan contoh terbaik bagaimana membahagikan masa dan memahami tuntutan isteri-isteri.

“Kalau kita berpaksikan dengan cara Nabi Muhammad mengurus keluarga seperti masa antara isteri dan anak-anak, alhamdulillah tiada masalah.

“Kesannya seperti sekarang. Bukanlah sempurna 100 peratus. Mana ada keluarga yang sempurna, pasti ada masalah.

“Masalah itulah yang kita harus bijak menyelesaikannya. Bila dapat selesai, dapatlah kesan yang baik,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.