Faizal Tahir, Keluarga Rai 1 Syawal Di Makkah

KUALA LUMPUR: Hajat penyanyi, Faizal Tahir membawa keluarga merasai pengalaman berpuasa dan meraikan 1 Syawal di Makkah dimakbulkan Allah.

Menerusi perkongsian gambar pada laman Instagram, penyanyi lagu Assalamualaikum itu memuat naik foto yang dirakamkan di hadapan Kaabah pada 1 Syawal, khusus buat pengikutnya. Faizal, 38, yang mengerjakan ibadat umrah bersama isteri, Siti Raihanim Noran dan enam anak mereka, berkongsi catatan: “Eid Mubarak dari kami di Tanah Suci Makkah… Minal Aa’idin Wal Faaiziin.”

Faizal dan keluarga berangkat mengerjakan umrah sejak 20 Jun lalu. Sebelum ini, ketika ditemuramah media, Faizal pernah menyatakan niat mahu keluarganya merasai pengalaman berpuasa dan menyambut Syawal di perantauan.

Akuinya, ketika kecil, dia dan adik-beradiknya berpeluang merasai pengalaman berpuasa di luar negara kerana mengikut ayah yang menyambung pengajian di seberang laut.

Terdahulu, dalam beberapa entri di laman maya peribadinya itu, Faizal meluahkan kesyukuran dan berharap pemergian ke Tanah Suci bukan yang terakhir buat dirinya sekeluarga.-Bharian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.