Ambil Warga Asing Bekerja, 48 Lesen Syarikat Kawalan Keselamatan Dibatalkan

PUTRAJAYA – Sebanyak 48 syarikat kawalan keselamatan telah dibatalkan lesen mereka sejak 2013 hingga bulan lalu atas pelbagai kesalahan termasuk menggunakan pengawal keselamatan yang terdiri daripada pendatang asing tanpa izin (PATI).

 

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, dalam tempoh tersebut, sebanyak 60 syarikat juga dikenakan amaran terakhir.

 

Berdasarkan statistik tangkapan dalam operasi bersepadu di seluruh negara sejak 1 November 2013, katanya, sebanyak 1,208 PATI yang bekerja sebagai pengawal keselamatan telah ditangkap dan didakwa seterusnya diusir keluar.

 

“Sebagai makluman, kebanjiran pengawal keselamatan warga asing secara haram ini adalah disebabkan kecenderungan syarikat-syarikat kawalan keselamatan itu menggunakan pengawal keselamatan PATI kerana ingin mendapatkan keuntungan yang lebih.

 

“Melalui cara ini mereka tidak perlu membayar levi, cukai perkhidmatan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan juga tidak perlu menjaga kebajikan pekerja sebagaimana yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

 

Beliau mengulas pendedahan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) semalam berhubung tindakan segelintir syarikat kawalan keselamatan yang tidak mematuhi peraturan pihak berkuasa.

 

Tindakan itu menyebabkan kira-kira 30,000 pengawal kese­lamatan warga asing bekerja secara haram di negara ini.

 

Tanpa saringan latar belakang dan kewarganegaraan, tindakan segelintir syarikat kawalan keselamatan mengaut keuntungan dengan membayar gaji yang murah kepada mereka mengundang risiko kepada ke­selamatan penduduk. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.