Siasat Laporan WSJ Secara Telus, Terperinci – Muhyiddin

PETALING JAYA – Pihak berwajib perlu masuk campur dan menyiasat semua tuduhan yang dilemparkan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua agensi terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia dan polis bersama Pejabat Peguam Negara untuk menyiasat dakwaan terhadap Najib.

 

“Saya yakin siasatan akan dijalankan dengan terperinci dan secara telus.

 

“Akhirnya, kita mahukan kebenaran,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

 

Muhyiddin berkata demikian sebagai maklum balas berhubung laporan Wall Street Journal pada Jumaat mengenai hampir AS$700 juta (RM2.7 bilion) disalurkan ke akaun peribadi Najib.

 

“Pendedahan ini membimbangkan saya kerana ia mendakwa wang itu berpunca daripada beberapa entiti yang mempunyai kaitan dengan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

“Ini adalah dakwaan yang serius dan ia boleh menggugat keupayaan dan integriti Perdana Menteri yang juga pemimpin kerajaan,” katanya.

 

Kata Timbalan Perdana Menteri itu lagi, tuduhan terbaharu juga menarik minat rakyat dan media antarabangsa kerana ia membabitkan kepentingan awam.

 

Muhyiddin juga menyarankan supaya Najib memberi penjelasan yang meyakinkan atau menafikan dakwaan yang bersifat peribadi itu.

 

“Jika beliau yakin tuduhan itu tidak benar dan ia hanya satu penipuan, adalah lebih baik tindakan undang-undang diambil terhadap pihak yang membuat dakwaan itu.

 

“Ia bagi membersihkan namanya dan mengekalkan kredibiliti kerajaan,” katanya.

 

Muhyiddin juga meminta semua pihak supaya bertenang kerana beliau percaya kebenaran akan diketahui juga akhirnya.

 

“Saya berdoa kepada Allah supaya dapat memberi tawfiq dan hidayah kepada kita untuk menyelesaikan masalah ini, selain mengurniakan kemakmuran kepada rakyat serta negara ini,” katanya. – Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.