Dakwaan WSJ Terhadap Najib Sukar Dipercayai, Tidak Masuk Akal – Haron Din

PUTRAJAYA – Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din menyifatkan dakwaan penyaluran wang berbilion ringgit ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai sesuatu yang sukar dipercayai dan tidak masuk akal.

 

Dalam reaksinya seperti dilaporkan oleh Malaysiakini, Haron berkata logik akal menyatakan seseorang yang mahu mengambil atau menyalahgunakan dana awam tidak akan memasukan wang tersebut ke akaun persendirian sebaliknya disalurkan ke akaun rahsia.

 

Kata Mursyidul Am PAS itu lagi, sejak akhir-akhir ini banyak berita dan dakwaan timbul yang kelihatan seperti benar tetapi kemudian terbukti sebaliknya selepas siasatan lanjut dijalankan.

 

“Jadi saya perlu periksa sama ada berita ini benar atau tidak terlebih dahulu,” katanya yang berharap tuduhan terhadap Perdana Menteri itu tidak benar dan segera dinafikan demi kepentingan negara.

 

“Tetapi jika tidak berlaku juga, ia adalah perkara yang sangat malang dan tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

 

Semalam Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada lewat malam telah menafikan tuduhan oleh WSJ dan Sarawak Report.

 

Najib dalam kenyataannya itu juga menyifatkan dakwaan liar itu sebagai mengarut dan tidak berasas yang hanya bersandarkan pada dokumen yang telah diubahsuai oleh bekas pegawai PetroSaudi, Xavier Justo yang kini telah ditahan oleh pihak berkuasa Thailand.

 

“Saya ingin berterus terang: Saya tidak pernah mengambil dana demi kepentingan peribadi seperti didakwa seteru politik – baik daripada 1MDB, SRC International atau entiti lain, seperti mana disahkan oleh semua syarikat terbabit.

 

“Seperti diketahui, beberapa dokumen yang menjadi asas dakwaan kebelakangan ini dilaporkan telah diubah. Individu yang membocorkan dokumen ini sedang disiasat oleh pihak berkuasa di luar negara kerana cuba memeras ugut bekas majikanny,” kata beliau dalam kenyataan tersebut.

 

Sementara itu dalam perkembangan yang sama, seorang Ahli Parlimen PKR Datuk Kamarul Baharin Abbas yang juga ahli Jawatankuasa Kira-Kira Parlimen (PAC) turut menyuarakan rasa sangsinya dengan dakwaan terbaru WSJ dan Sarawak Report terhadap Perdana Menteri.

 

Menurut Kamarul, tiada syarikat yang secara rahsia akan memindahkan wang sebanyak US$700 juta (RM2.6 bilion) ke akaun seorang individu.

 

“Jumlah wang yang besar seperti itu yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi tidak mungkin tidak dapat dikesan,” katanya seperti dipetik dari laman berita Mstar.

 

“Bank Negara akan menyedari transaksi tersebut,” kata beliau sambil menambah WSJ dan laman Sarawak Report mesti menunjukkan bukti bagi menyokong dakwaan mereka.

 

“PAC tidak menerima sebarang laporan mengenai wang 1MDB yang melibatkan jumlah wang besar seperti itu. Siasatan kita pun belum mencapai tahap itu,” ujar beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.