Tukar Plastik Dengan Duit

Padang Besar – Seorang pengusaha pusat pengumpulan dan kitar semula di Felda Chuping, dekat sini, menggesa penduduk tidak membakar plastik semasa Ramadan ini sebaliknya menghantarnya ke pusat pengumpulannya untuk menambah pendapatan.

Abdul Khair Hashim, 61, berkata, dia baru saja membuka pusat terbabit dan akan membeli setiap kilogram plastik dengan harga 50 sen.

Katanya, amat sukar menjadi perintis mengusahakan pusat pengumpulan dan kitar semula di negeri itu memandangkan masyarakat sudah biasa membakar dan membuang sampah ke dalam tong sampah.

“Saya berharap masyarakat terutama di sekitar Chuping dan Padang Besar dapat mengumpul plastik untuk dijual kepada saya supaya dapat dikitar semula.

“Sebelum ini saya berjumpa dengan beberapa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), hasilnya sangat baik apabila orang kampung sudah berminat menghantar barang terbuang itu di pusat ini,” katanya.

Abdul Khair berkata, pusat pengumpulan yang diusahakannya bukanlah mementingkan keuntungan semata-mata kerana niatnya juga adalah mahu membantu dan mendidik masyarakat supaya cintakan alam sekitar.

Menurutnya, dia membuka perniagaan itu tanpa modal disebabkan ketiadaan sumber kewangan kerana mengharapkan kepercayaan daripada rakan-rakan dengan mengambil dahulu mesin kitar semula dan membayarnya selepas enam bulan.

“Bukan mudah untuk saya sampai ke tahap ini, saya membuka pusat pengumpulan ini kerana mahu melihat masyarakat bersama-sama dengan saya menjadikan alam sekitar segar tanpa plastik.

“Pengalaman lalu di pusat pelupusan sampah banyak mengajar saya supaya lebih menghargai sampah sarap ini yang sepatutnya tidak dibuang dengan sia-sia,” katanya.

Katanya, dia sedang berusaha untuk menjadikan pusat ini beroperasi 24 jam sehari namun bekalan elektrik yang diterima masih kurang untuk menjana mesin-mesin kitar semula di sini.

“Semoga usaha saya ini dapat membantu penduduk kampung untuk menjana pendapatan sampingan selain membina masyarakat yang menghargai alam sekitar,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.