Serik 2 Kali Putus Tunang, Ikhwan HotFM Mahu Terus Nikah

Kuala Lumpur – Dua kali putus tunang, penyampai radio Hot FM, Mohd Khairul Ikhwan atau Ikhwan berasa serik untuk bertunang lagi dan berhasrat jika satu hari nanti bertemu jodoh yang sesuai, dia mahu segera bernikah.

Baginya, jika dia bertunang lagi, ia satu kesilapan besar yang dilakukan atas pengalaman yang pernah dilalui sebelum ini.

Ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Hot FM, Ikhwan secara jujur mengakui ikatan pertunangannya bersama Natasha Nadia yang dikenalinya setahun lalu sudahpun terlerai awal tahun ini.

“Saya mengakui sudah putus tunang pada Awal Muharam yang lalu. Kami putus secara baik dan keluarga saya sudah pergi ke rumah tunang bagi memutuskan ikatan ini.

“Walaupun sudah dua kali putus tunang, saya tidak serik untuk bercinta lagi. Saya sentiasa positif dengan apa yang berlaku dan bersedia untuk terus bernikah jika sudah bertemu pasangan yang sesuai,” katanya.

Enggan mengaibkan mana-mana pihak, Ikhwan berkata, keputusan yang dibuat atas sebab peribadi dan kerana kerelaannya sendiri. Malah sejak putus tunang, Ikhwan sudah tidak berhubung dengan Natasha lagi.

“Kami tidak lagi berhubung kerana sudah memilih meneruskan kehidupan masing-masing, namun saya sedih kerana kehilangan orang baik di sekeliling seperti ahli keluarganya. Saya masih lagi berhubungan dengan ahli keluarganya dan saya juga rapat dengan abang kepada bekas tunang saya itu.

“Namun saya berharap semua orang memahami keadaan yang saya alami dan tidak sewenang-wenangnya menuding jari kepada saya berikutan sudah putus tunang dua kali.

“Meskipun saya sedar persepsi itu akan timbul apabila orang tahu saya putus tunang lagi, saya berharap diberi ruang untuk lebih berfikir ke hadapan tanpa mengingati apa yang terjadi,” katanya yang kelihatan lebih tenang.

Mengulas perkemba–ngan terbarunya, Ikhwan berkata, dia baru saja tamat kontrak selama empat tahun bersama program hiburan Galaksi untuk siaran TV9.

Menurutnya, pihak produksi mahukan pembaharuan dalam program berkenaan dan dia rasa bersyukur kerana mendapat banyak pengalaman pahit serta manis sepanjang mengendalikan program itu.

“Bukan mudah untuk menjadi pengacara rancangan gosip. Ini kerana sebagai pengacara rancangan seperti itu, saya perlu berhati-hati dalam setiap tindakan kerana tidak sesuai sekiranya pengacara turut terpalit dengan kontroversi.

“Sebagai manusia, saya juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Malah, melalui rancangan itu, saya sendiri pernah menjawab kontroversi yang melanda diri mengenai isu berpeluk di sebuah kelab.

“Ketika itu Kiah Propa sendiri yang menyoal saya. Kerana mahu adil dengan semua orang, saya perlu jujur bercerita keadaan sebenar yang berlaku. Ini juga antara pengalaman yang tidak boleh saya lupakan selama mengacarakan program Galaksi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.