Penjawat Awam Parah Dirempuh Kereta

Putrajaya – Seorang penjawat awam parah di bahagian muka apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta Perodua Kancil dari arah belakang.

Kejadian berlaku di persimpangan masuk Presint 5 menghala ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Khaidir berusia lingkungan 40-an menaiki motosikal jenis Modenas Kriss dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya untuk bersiap ke masjid.

Bagaimanapun, pemandu kereta terbabit yang enggan dikenali memberitahu, dia menghentikan kenderaannya secara mengejut selepas mendengar dentuman kuat di bahagian hadapan keretanya.

Katanya, dia yang sering menggunakan jalan tersebut tidak menyedari kelibat mangsa yang menaiki motosikal.

“Saya ini sebenarnya keluar untuk mengambil anak pulang dari sekolah. Saya sangat terperanjat objek besar yang menimpa cermin kereta saya hingga pecah rupa-rupanya adalah mangsa,” ujarnya.

Mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya bagi mendapatkan rawatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.