Pemandu Maut Kereta Bergesel Lori

KUANTAN – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandu terbabas sebelum bergesel dengan sebuah lori dari arah bertentangan dalam kemalangan di Kilometer 151, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat Lanchang, Temerloh, tengah hari kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 12 tengah hari itu, Mohamad Zulkifli Mahadi, 19, dari Kampung Bongsu, Lanchang meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh akibat kecederaan parah dialami.

Manakala penumpang kereta, Suaini Mohd Sidek, 53, yang cedera parah turut dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, lori yang membawa muatan batu dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Temerloh.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu lori terbabit mendakwa ternampak sebuah kereta dari arah bertentangan hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluannya.

“Pemandu lori gagal mengelak menyebabkan kereta jenis Proton Iswara yang dipandu mangsa bergesel dengan lori menyebabkan bahagian kanan kereta tersebut remuk.

“Akibat kejadian, pemandu dan penumpang kereta terbabit mengalami kecederaan parah dan tersepit dalam kenderaan dinaiki,” katanya.

Mohamed Fauzi berkata, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba yang bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan berhubung kemalangan tersebut.

“Kedua-dua mangsa dihantar ke HoSHAS bagaimanapun pemandunya dipercayai meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital,” katanya.

Sementara itu, dalam kemalangan berasingan, seorang penunggang maut selepas motosikal yang ditunggang merempuh belakang sebuah lori treler di Kilometer 44.6 Lebuh Raya Karak–Kuala Lumpur dekat Bentong, awal pagi kelmarin.

Mohamed Fauzi berkata, mangsa berketurunan Orang Asli, Razak a/k Deris, 19, dari Kampung Orang Asli Tun Razak, Kuala Kubur Baru disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Lori terbabit dipercayai dalam perjalanan dari arah Bentong ke Kuala Lumpur.

“Ketika tiba di lokasi, lori terbabit dipandu agak perlahan kerana mendaki laluan berbukit sebelum pemandunya menyedari berlaku hentakan dari arah belakang,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha SS110 dari arah sama dipercayai gagal mengelak dan terlanggar bahagian belakang lori tersebut.

“Mangsa yang bekerja sebagai pekebun sayur disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya.

Mohamed Fauzi berkata, kedua-dua kemalangan maut itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/pemandu-maut-kereta-bergesel-lori-1.296200

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.